SHAH ALAM, 9 FEB: Program saringan kesihatan percuma merupakan inisiatif Kerajaan Selangor berlangsung di empat lagi lokasi sepanjang Februari ini, maklum EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin.
Tarikh dan lokasi berkenaan ialah :
14 Februari: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah
15 Februari: Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang, Tanjong Karang (DUN Sungai Burong)
22 Februari: Dewan Orang Ramai Kampung Chuang Rasa (DUN Kuala Kubu Bharu)
23 Februari: Dewan Meru Kapar (DUN Meru)
“Orang ramai dipelawa berkunjung ke Selangor Saring dan mengambil peluang melakukan pemeriksaan kesihatan percuma bagi fizikal, ujian darah, urin, barah, mata dan gigi,” katanya di Facebook.
Peserta digalakkan mendaftar Selangor Saring di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain saringan ditawar berdasarkan penilaian faktor risiko individu. Sebarang masalah boleh hubungi hotline Selcare 1-800-22-6600.
Berikut cara mendaftar Selangor Saring:
1. Download aplikasi SELangkah
2. Tekan butang Selangor Saring
3. Isi borang soal selidik
4. Pilih lokasi dan tarikh di atas
Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma yang diperkenal sejak 2022.
Program Selangor Saring antara usaha membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.
Pada 17 Disember tahun lalu, Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan hampir 7,000 rakyat negeri ini menjalani saringan percuma sepanjang 2024 dengan 38 peratus daripadanya melibatkan individu berumur 46 hingga 64 tahun.

The post DUN Sungai Burong antara empat lokasi Selangor Saring Februari ini appeared first on Selangorkini.


