DUN Terengganu: McCormick henti operasi ladang lada hitam

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 3:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DUN Terengganu: McCormick henti operasi ladang lada hitam

KUALA TERENGGANU: Syarikat antarabangsa, McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn. Bhd. memutuskan untuk menamatkan operasi perladangan lada hitam di Lembah Bidong secara berperingkat bermula 31 Januari hingga 30 Jun 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat oleh ibu pejabat syarikat berkenaan di Amerika Syarikat susulan penggabungan McCormick dengan Unilever Food.

Menurutnya, keputusan komersial itu bukan disebabkan sebarang masalah atau faktor berkaitan kerajaan negeri, sebaliknya sebahagian daripada penstrukturan semula hala tuju perniagaan syarikat berkenaan.

“Mereka menetapkan semula hala tuju perniagaan untuk tidak lagi terlibat dalam sektor perladangan, sebaliknya kembali kepada perniagaan teras mereka dalam industri pemprosesan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Azmi Maarof (Pas-Langkap) berkenaan jumlah pekerja tempatan, khususnya anak Terengganu yang diambil bekerja menerusi projek ladang lada hitam itu.

Jelas Dr. Azman proses penamatan pekerja dalam operasi selama enam bulan itu akan disertai pembayaran pampasan antara dua hingga empat bulan gaji mengikut hak masing-masing.

Katanya, pengurusan tertinggi McCormick yang mengadakan kunjungan kepada kerajaan negeri pada Isnin turut beberapa kali memohon maaf dan menjelaskan keputusan itu tidak mempunyai kaitan dengan kerjasama yang diberikan kerajaan negeri.

“Malah, mereka tidak menyangka kerajaan negeri telah memberikan kolaborasi dan kerjasama yang begitu baik atas sifat kita sebagai tuan tanah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri sedang meneliti langkah bagi memastikan projek perladangan lada hitam di Lembah Bidong dapat diteruskan menerusi pengambilalihan oleh pelabur baharu.

Dr. Azman berkata, perkara itu akan diteliti bersama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) selaku tuan tanah, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), termasuk meneliti terma perjanjian sedia ada yang memperuntukkan klausa penamatan secara persetujuan bersama (mutual termination).

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengenal pasti pelabur berpotensi yang mempunyai kemampuan kewangan dan keupayaan untuk mengambil alih serta meneruskan projek berkenaan.

“Alhamdulillah, ada khabar positif apabila terdapat pelabur berpotensi yang sudah hadir melawat tapak dan mengadakan perbincangan.

“Pelabur yang kita kenal pasti ini mempunyai kemampuan kewangan serta keupayaan lain dan mereka menyatakan minat mendalam untuk mengambil alih serta meneruskan kesinambungan projek lada hitam ini,” katanya.

Tambahnya, McCormick turut menyatakan kesediaan untuk terus membeli hasil lada hitam yang dikeluarkan dari ladang berkenaan walaupun tidak lagi terlibat secara langsung dalam sektor perladangan.

“Maknanya mereka hanya memperlahankan penglibatan dalam sektor perladangan, tetapi tetap meneruskan langkah dalam industri pemprosesan produk berasaskan lada hitam,” katanya.

Pada Januari lalu, Terengganu dilaporkan mencipta sejarah di peringkat global apabila Lembah Bidong dipilih sebagai lokasi ladang lada hitam pertama di dunia milik McCormick Global Ingredients Malaysia.

Projek mega bernilai RM360 juta itu merangkumi pembangunan kawasan ladang seluas 600 hektar serta pembinaan kilang pemprosesan berteknologi tinggi. – UTUSAN

The post DUN Terengganu: McCormick henti operasi ladang lada hitam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved