McCormick tamatkan operasi ladang lada hitam di Terengganu mulai Januari 2027

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 12:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

McCormick tamatkan operasi ladang lada hitam di Terengganu mulai Januari 2027 Image from: McCormick tamatkan operasi ladang lada hitam di Terengganu mulai Januari 2027 liza17/11/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 17 Nov – McCormick akan menamatkan operasi perladangan lada hitam di Terengganu bermula 31 Januari 2027 susulan keputusan komersial ibu pejabat syarikat itu di Amerika Syarikat (AS) untuk menyusun semula hala tuju perniagaannya.

 

Ketika ini terdapat 180 pekerja di ladang tersebut yang terletak di Setiu dan daripada jumlah itu, 70% adalah anak jati Terengganu manakala bakinya 30% pekerja terdiri dari rakyat negeri lain.

 

Proses penamatan operasi itu akan dilaksanakan secara berperingkat selama enam bulan sehingga 30 Jun 2027, membabitkan penamatan pekerja dengan pampasan antara dua hingga empat bulan gaji.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim menjelaskan keputusan itu dibuat oleh pengurusan tertinggi McCormick di AS susulan penggabungan syarikat berkenaan dengan Unilever Food dan bukannya berpunca akibat sebarang masalah dengan kerajaan negeri atau keadaan operasi di Terengganu.

 

“Keputusan itu sebahagian daripada penyusunan semula strategi perniagaan McCormick yang mahu kembali memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya dalam industri pemprosesan, selain tidak lagi terlibat dalam sektor perladangan.

 

Keputusan komersial ibu pejabat di AS

“Perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan saya bersama pengurusan tertinggi McCormick, termasuk pengarah syarikat itu, Ross Grier pada tengah hari semalam.

 

“Dalam pertemuan itu, pihak McCormick turut beberapa kali memohon maaf atas keputusan berkenaan dan menegaskan bahawa tiada sebarang faktor daripada kerajaan negeri yang mendorong penamatan operasi tersebut,” katanya menjawab soalan lisan Azmi Maarof (PAS-Langkap) yang ingin tahu punca penamatan operasi ladang tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

 

Malah, syarikat itu mengakui kerjasama serta kolaborasi yang diberikan kerajaan negeri sepanjang tempoh operasi, khususnya dalam kapasiti kerajaan negeri sebagai tuan tanah, berjalan dengan baik.

 

Pelabur baharu dikenal pasti untuk ambil alih ladang

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang memberi tumpuan kepada usaha memastikan industri lada hitam yang telah bertapak di Lembah Bidong, Terengganu dapat diteruskan menerusi pengambilalihan oleh pihak lain.

 

“Terdapat pelabur berpotensi yang telah mengadakan lawatan serta perbincangan dan menyatakan minat mendalam untuk mengambil alih serta meneruskan projek perladangan lada hitam berkenaan.

 

“Pelabur yang dikenal pasti itu juga mempunyai kemampuan kewangan serta keupayaan lain yang diperlukan bagi memastikan kesinambungan projek tersebut,” katanya.

 

Bagaimanapun, proses pengambilalihan itu masih memerlukan perbincangan lanjut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

 

McCormick sedia beli hasil lada hitam

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata McCormick menyatakan kesediaan untuk terus membeli hasil lada hitam yang dikeluarkan walaupun tidak lagi terlibat secara langsung dalam aktiviti perladangan.

 

Ini bermakna syarikat itu masih berhasrat meneruskan penglibatan dalam industri lada hitam menerusi aktiviti pemprosesan produk berasaskan komoditi berkenaan.

 

Bagi memastikan proses penamatan berjalan lancar, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan terperinci menerusi Lembaga Tabung Amanah Warisan selaku tuan tanah, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

 

Perbincangan itu akan meneliti terma serta syarat dalam perjanjian sedia ada, termasuk klausa penamatan secara persetujuan bersama. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved