‘Dunia Ini Palsu, Saya Telah Menang’, Nota Tunjuk Suspek Alami Krisis Psikologi 

LocalPolitics
15 Oct 2025 • 6:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Suasana suram menyelubungi sekolah selepas kejadian

KUALA LUMPUR - Nota ditinggalkan suspek selepas menikam rakan sekolahnya hingga mati semalam, dipercayai mencerminkan krisis psikologi yang mendalam.

“Dunia ini palsu. Saya telah menang,” yang tertulis pada nota tersebut, ditemui pada suspek ketika dia ditangkap.

Ia sekali gus menafikan dakwaan kononnya nota berkenaan ditemui di tandas sekolah, yang juga lokasi kejadian.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, nota terbabit telah dirampas untuk membantu siasatan yang sedang berjalan.

“Ya, saya sahkan polis menemui nota ini. Ia telah dirampas daripada suspek semasa pemeriksaan awal, bukan di tempat kejadian.

“Berhubung kandungan nota itu, ia masih dalam siasatan lanjut pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini.

Menurut beliau, siasatan kini dijalankan dari semua sudut, termasuk latar belakang suspek dan mangsa.

“Setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden ini berpunca daripada kejadian buli.

“Polis memandang serius perkara ini dan menggesa semua pihak, termasuk pihak sekolah serta masyarakat, untuk bekerjasama memastikan keselamatan semua pelajar,” katanya.

Tragedi tersebut yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi semalam telah mengejutkan komuniti sekolah dan seluruh negara.

Suspek, pelajar lelaki Tingkatan Satu, didakwa mengikuti mangsa masuk ke tandas perempuan sebelum menikamnya berkali-kali. 

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, mengesahkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

Suspek katanya, telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Suasana Suram Di Sekolah

Getaran difahamkan, insiden berkenaan menyebabkan kehadiran pelajar di sekolah terbabit menurun dengan ketara. 

Seorang pelajar Tingkatan Tiga memaklumkan, hanya empat orang pelajar hadir ke kelasnya hari ini.

Katanya, pelajar yang hadir ditawarkan sesi kaunseling di dewan khas yang disediakan. 

“Pihak sekolah juga telah memperketatkan kawalan keselamatan dengan rondaan polis dari Polis Diraja Malaysia yang ditempatkan sepanjang hari,” katanya.

Tinjauan Getaran mendapati, kawasan sekolah turut dibanjiri wakil media tetapi tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan dan privasi.

Seorang bapa kepada pelajar Tingkatan Empat yang ditemui menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku di sekolah tersebut.

“Sebagai seorang ayah, saya sememangnya bimbang, terutamanya kerana ia kali pertama perkara seperti ini terjadi. 

“Selama anak saya bersekolah di sini, saya tidak pernah dengar sebarang pergaduhan atau kegiatan jenayah walaupun sekolah ini memiliki pelajar daripada pelbagai kaum,” katanya.

Seorang bekas pelajar, Aravinthan Arulalan, 18 tahun, pula berkata, dia pergi ke sekolah bersama rakannya selepas mendengar berita berkenaan. 

Sedih dan terganggu dengan tragedi itu, dia turut menyeru  langkah keselamatan dan disiplin pelajar diperketat.

“Saya rasa pihak berkuasa perlu mengetatkan peraturan sekolah dan melakukan pemeriksaan mengejut terhadap beg pelajar untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya. - Getaran, 15 Oktober 2025