
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif baharu terhadap 14 rakan dagang utama termasuk China, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun dengan mendakwa pengeluaran berlebihan memberi kelebihan tidak adil kepada negara-negara berkenaan.
Tarif yang dicadangkan itu susulan siasatan selama beberapa bulan terhadap amalan perdagangan 12 negara termasuk Malaysia, EU serta Taiwan, selepas Mahkamah Agung AS membatalkan tarif global menyeluruh Trump pada Februari lalu.
EU pada Rabu menolak asas pengenaan tarif baharu terhadap eksportnya yang dicadangkan AS, selain menggesa Washington mematuhi perjanjian perdagangan yang dimeterai dengan Brussels tahun lalu.
Surhanjaya Eropah (EC) berkata, pihaknya akan meneliti hasil siasatan berkenaan.
“Kami akan meneliti hasil siasatan itu,” kata jurucakap EC, Olof Gill.
Bagaimanapun, Gill berkata, EU menolak dakwaan bahawa Eropah menjadi punca lebihan kapasiti industri secara struktural, sebaliknya rantau itu antara yang paling terdedah kepada masalah berkenaan.
EU mengenakan sekatan perdagangan bagi melindungi industrinya daripada kesan lebihan kapasiti, namun langkah itu kebanyakannya ditujukan kepada China.
Brussels sejak sekian lama bimbang pengeluaran berlebihan di China, yang sebahagiannya didorong subsidi kerajaan, menyebabkan lambakan import murah sehingga menjejaskan pengeluar Eropah.
“EU dan AS berkongsi kebimbangan sebenar terhadap lebihan kapasiti global, yang sebahagian besarnya didorong negara dan tertumpu di negara ketiga. Kami kesal kerana tiada tindakan bersama,” katanya.
Gill berkata, EC akan terus berunding dengan Washington bagi melaksanakan perjanjian tarif yang dimeterai pada 2025, yang menetapkan kadar tarif Trump terhadap blok itu pada 15 peratus.
“Kami mengharapkan sebarang langkah daripada siasatan ini menghormati perjanjian itu sepenuhnya, termasuk apabila digabungkan dengan duti sedia ada,” katanya kepada AFP.
China pula menggesa AS mengekalkan hubungan perdagangan yang stabil selepas laporan menyebut Washington merancang mengenakan tarif baharu terhadap negara itu dan beberapa negara lain.
“Perang tarif dan perang perdagangan bukan kepentingan mana-mana pihak,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun ketika ditanya mengenai rancangan Washington itu.
Beliau berkata, dua ekonomi terbesar dunia yang mencapai gencatan perdagangan sementara pada 2025 sepatutnya menyelesaikan isu berkaitan menerusi rundingan.
Guo turut menyifatkan dakwaan lebihan kapasiti, yang merujuk kepada pengeluaran besar-besaran pada harga rendah sehingga membanjiri pasaran luar dan menjejaskan pesaing tempatan, sebagai ‘tuduhan palsu’ serta alasan untuk manipulasi politik.
“China dan AS perlu bekerjasama melaksanakan secara berkesan kesepakatan penting yang dicapai oleh kedua-dua ketua negara serta mengekalkan pembangunan stabil hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS,” katanya.
Kerajaan Switzerland turut menolak dakwaan yang timbul daripada siasatan berkenaan.
Sementara itu, Rachel Ziemba, felo kanan tambahan di Pusat Keselamatan Amerika Baharu (CNAS) berkata, pengumuman tarif menjelang sidang kemuncak G20 pada pertengahan Disember membuka ruang rundingan, namun turut meningkatkan risiko tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi pada 2027.
“Pengumuman pada waktu ini, menjelang G20 pada pertengahan Disember, menjadikan pertemuan itu peluang untuk rundingan dan meningkatkan risiko tekanan inflasi serta ketidaktentuan makroekonomi pada 2027, sekali gus mengurangkan sebahagian manfaat daripada penurunan harga gas,” katanya kepada Al Jazeera.
Norway pula menyambut baik keputusan itu.
“Kami sejak awal proses ini sudah menjelaskan bahawa Norway tidak mempunyai dasar yang menyumbang kepada lebihan kapasiti. Syarikat Norway menghasilkan barangan berdasarkan permintaan pasaran,” kata Menteri Luar, Espen Barth Eide.
Pasaran kewangan AS turut mencatat reaksi negatif berikutan pengumuman cadangan tarif baharu itu.
Indeks Nasdaq menjunam 3.9 peratus dalam dagangan awal, manakala S&P 500 merosot 2.8 peratus dan Dow Jones susut 1.4 peratus apabila pelabur menilai kesan tarif baharu terhadap perdagangan dan pertumbuhan ekonomi.
Hasil bon kerajaan AS dan Eropah turut menurun, mencerminkan peningkatan kebimbangan pelabur terhadap prospek ekonomi global.
The post Dunia kecam tarif baharu Trump, saham AS merosot appeared first on Utusan Malaysia.




