Harga minyak terus meningkat lepasi AS$107 setong

WorldBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 10:11 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harga minyak terus meningkat lepasi AS$107 setong

HONG KONG: Harga minyak meningkat dengan ketara pada Isnin, dengan minyak mentah Brent melepasi AS$107 setong apabila ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan tenaga global.

Minyak mentah Brent bagi penghantaran November meningkat 2.8 peratus kepada AS$107.54 setong, manakala penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) bagi Oktober, naik 2.3 peratus kepada AS$102.34.

Kedua-dua kontrak itu meneruskan kenaikan minggu lalu selepas kembali melepasi paras AS$100 setong.

Tumpuan pasaran kekal terarah kepada Asia Barat, apabila kebimbangan keselamatan baharu mengancam laluan utama eksport minyak.

Perkembangan itu berlaku selepas Arab Saudi menutup sementara saluran paip East-West susulan serangan dron, manakala sebuah kapal dagang diserang di Selat Hormuz pada Ahad, menyebabkan seorang maut dan tiga lagi cedera, menurut pihak berkuasa Iran.

Selat itu sebelum ini bebas digunakan untuk pelayaran sebelum perang tercetus, namun Iran kini mewajibkan kapal mendapatkan kebenaran dan sedang mempertimbangkan mekanisme mengenakan bayaran perkhidmatan.

Kapal yang tidak mematuhi arahan berkenaan kerap menjadi sasaran serangan Iran, manakala AS secara berkala melancarkan serangan udara ke atas kawasan pesisir Iran bagi mencabar kawalan republik Islam itu terhadap selat berkenaan.

Oman turut menangguhkan rundingan antara Iran dan negara-negara Teluk mengenai masa depan laluan air strategik itu, yang menjadi laluan penting bagi sebahagian besar perdagangan minyak dunia melalui laut.- AFP

The post Harga minyak terus meningkat lepasi AS$107 setong appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved