
USAHAWAN sensasi, Aliff Syukri sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi pesanan menyentuh hati buat anak-anaknya mengenai kehidupan, kesusahan dan erti sebenar sebuah kejayaan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Aliff mengakui beliau tidak mahu membesarkan anak-anak dengan terlalu bergantung kepada kemewahan walaupun keluarganya menikmati kehidupan yang selesa.
Menurutnya, dunia luar tidak sentiasa indah dan akan ada masanya setiap individu perlu berjuang sendiri tanpa bergantung kepada sesiapa.
"Anak-anak, abah tak nak biasakan korang dengan kemewahan. Sebab abah tahu, dunia di luar sana sangat jahat dan tak selalu memihak kepada kita.
"Akan ada saatnya korang penat berjuang sendirian, usaha tidak dihargai dan air mata terpaksa disembunyikan di sebalik senyuman," tulisnya.

Aliff percaya setiap cabaran yang dilalui bukanlah untuk melemahkan seseorang, sebaliknya menjadi proses yang membentuk ketahanan diri.
Tambahnya, kesusahan dan kegagalan merupakan guru terbaik dalam kehidupan kerana daripada pengalaman itulah seseorang belajar menjadi lebih kuat, sabar serta matang.
"Setiap kesusahan yang datang bukan untuk menghancurkan, tetapi untuk membentuk kamu menjadi insan yang lebih kuat, lebih sabar dan lebih matang," katanya.
Malah, usahawan berusia 39 tahun itu turut menitipkan pesanan agar anak-anaknya tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai rintangan pada masa hadapan.
"Jika suatu hari nanti abah dan mama sudah tiada, abah harap anak-anak abah pegang satu pesan ini sampai bila-bila, jangan mudah menyerah.
"Orang yang berjaya bukanlah mereka yang tidak pernah jatuh, tetapi mereka yang tetap bangun walaupun berkali-kali terjatuh," ujarnya.

Dalam tazkirah Maghrib, figura dikenali sebagai Papa Terlajak Laris itu menceritakan susah payah ditempuhi dari usia 16 tahun semata-mata untuk membentuk sahsiah dan mentaliti anak-anaknya agar tidak hanyut dengan kemewahan hidup.
"Ingatlah dan faham asal usul kalian semua ni, daripada Aliff Syukri bin Kamarzaman yang berniaga menjaja di kaki lima, ketuk-ketuk pintu rumah orang. Itulah bermulanya. Umur 16 tahun.
"Dengar betul-betul ya. Orang yang hebat itu tidak gentar. Kalau dia susah, dia ada skill, dia rajin, dia ada usaha dan dia dah pernah jatuh.
"Tapi bila kita duduk dalam rumah yang mewah. Tak pernah buat kerja, bangun tidur lambat, dah terbiasa... tak pernah rasa susah.

"Keluar saja daripada rumah ini, kita akan rasa penat sebab hidup dekat luar sana terlalu keras.
"Terlalu hebat. Orang nak dapatkan duit satu hari RM70, terpaksa bersengkang mata buat kerja packing, sapu sampah dan hantar parcel.
"Ada yang sampai... cacat, ada yang sampai jatuh motor, ada yang sampai tak jumpa anak, kerja siang malam, pagi petang.
"Macam mana abah ni kena kuat bekerja nak menjulang nama kau. Bila kau bangun tidurr, ada rasa aircond. Rasa tak aircond yang mengalir itu, penat jerih abah mencari dan juga mama," tuturnya.
Sebelum ini, Aliff pernah berkongsi beliau mahu anak-anaknya mencari rezeki dan membina kekayaan hasil usaha sendiri, sama seperti perjalanan hidup yang pernah dilaluinya
Dirinya mula membeli rumah pertama pada usia 19 tahun dan kini memiliki lebih 200 hartanah termasuk di Malaysia, Indonesia dan London hasil kerja keras yang dibina sejak usia muda.
Usahawan tersohor itu menegaskan, segala aset yang dimiliki bukan alasan untuk anak-anak bergantung kepada harta keluarga, sebaliknya mereka perlu belajar berdikari dan memahami nilai sebenar sebuah pengorbanan serta usaha.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang bersetuju bahawa didikan tentang kesusahan dan ketabahan perlu diterapkan sejak kecil meskipun dibesarkan dalam serba kemewahan.
