Duopharma jangka permintaan produk disahkan halal terus meningkat di Indonesia

21/05/2025 - 16:13
(Dari kiri ke kanan): Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Kumpulan, Wan Amir-Jeffery Bin Wan Abdul Majid, Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar, dan Ketua Pegawai Kewangan Duopharma Biotech Berhad, Chek Wu Kong, semasa sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-24 Duopharma Biotech Berhad 2025 di Hotel Wyndham Acmar, Klang. Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 21 Mei - Duopharma Biotech Bhd menjangkakan permintaan poduknya yang disahkan halal terus mencatatkan peningkatan di Indonesia.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, Indonesia menawarkan peluang lebih berdaya maju untuk produk halal kumpulan, susulan keperluan baharu negara itu yang mewajibkan semua produk ubat-ubatan di kaunter (OTC) mematuhi sepenuhnya standard halal menjelang 2027.
"Indonesia dianggap pasaran yang lebih berpotensi berbanding Asia Barat bagi produk Duopharma," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan syarikat.
Pada 2024, Duopharma memperoleh hampir separuh hasil daripada kontrak kerajaan, 42% daripada sektor swasta dan 8% daripada eksport bahagian yang disasarkan untuk ditingkatkan secara berperingkat.
Syarikat kini mengeksport ke sekitar 30 pasaran, dengan ASEAN menjadi fokus utama berikutan keserasian persekitaran pengawalseliaan serta saiz pasaran.
Menurut Leonard, margin keuntungan dari eksport biasanya lebih rendah berbanding jualan domestik disebabkan cabaran pengawalseliaan dan pelaburan besar diperlukan.
Berbeza dengan Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia yang sudah biasa dengan fasiliti pengilangan Duopharma, pengawal selia luar negara sering tidak mengiktiraf sijil farmaseutikal Malaysia.
"Duopharma telah memasuki pasaran Timor-Leste selepas memenangi tender kerajaan untuk membekalkan produk farmaseutikal halal di sana, manakala usaha di Qatar dan Asia Barat masih berada pada peringkat awal.
"Qatar masih dalam proses pembangunan. Walaupun negara-negara berminat mengambil peluang sijil halal kami, produk perlu melalui proses pendaftaran farmaseutikal terlebih dahulu sebelum mendapat sijil halal," tambah Leonard.- DagangNews.com
standard


