Permintaan sektor awam, kos operasi lebih rendah rendah dijangka terus lonjak prestasi Duopharma - penganalisis

LocalBusiness & Finance
20 May 2025 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan sektor awam, kos operasi lebih rendah rendah dijangka terus lonjak prestasi Duopharma - penganalisis

image is not available

20/05/2025 - 12:30

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Mei – Duopharma Biotech Bhd dijangka terus mencatat prestasi kukuh dalam tempoh terdekat, disokong permintaan tinggi sektor awam dan kos operasi yang lebih rendah, kata CGS International (CGSI) Research.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "tambah" ke atas saham Duopharma dengan harga sasaran RM1.55.

"Kami positif terhadap arah aliran keuntungan syarikat dan menjangkakan keuntungan tahun ini meningkat 40% berbanding tahun lalu," katanya dalam satu nota penyelidikan.

CGS International turut menyifatkan penilaian semasa saham itu menarik, iaitu diniagakan pada 12.4 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan bagi 2026, lebih rendah berbanding purata tiga tahun sebelum Covid-19 iaitu 15 kali.

Walaupun jualan insulin dijangka berkurang secara berperingkat, margin dijangka pulih didorong pengukuhan ringgit dan penurunan kos bahan mentah.

Faktor pemangkin kepada penarafan semula termasuk permintaan lebih tinggi daripada jangkaan dan kos bahan mentah yang lebih rendah, manakala risiko utama melibatkan tekanan margin serta ketidaktentuan permintaan.

Duopharma melaporkan prestasi suku pertama yang kukuh, dengan keuntungan bersih terus melonjak 67.1% kepada RM25.5 juta, disokong peningkatan jualan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kontrak senarai pembelian produk diluluskan (APPL), dan lonjakan bekalan insulin.

Peningkatan itu mengimbangi margin kasar yang lebih rendah serta kos operasi lebih tinggi susulan kenaikan jumlah jualan.

Perolehan suku tersebut naik 36.2% tahun ke tahun, disumbang oleh kontrak baharu APPL yang dimeterai April lalu, penyambungan semula perolehan oleh KKM selepas dihentikan pada Disember, serta normalisasi bekalan insulin oleh rakan kongsi, Biocon.

Bagaimanapun, jualan insulin yang mencatat margin lebih rendah terus menekan keuntungan keseluruhan.

CGS International meramalkan jualan insulin kembali normal berikutan tamatnya perjanjian bekalan antara Duopharma, Biocon dan KKM pada 28 April lalu.

"Kami jangka margin kasar akan pulih dalam suku mendatang, disokong pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, serta penurunan harga bahan aktif farmaseutikal dan kos penghantaran sejak suku ketiga 2024," jelasnya.- DagangNews.com

standard