Duopharma, Respiree bekerjasama untuk pendigitalan penjagaan pesakit COPD
diyana
13/06/2023 - 18:30
KUALA LUMPUR 13 Jun - Duopharma Biotech Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat terapi digital berpangkalan di Singapura, Respiree Pte Ltd.
Kerjasama itu adalah untuk pendigitalan pengurusan kes dan pemantauan jarak jauh pesakit bagi penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), asma dan apnea tidur dan masalah pernafasan lain di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Komersial Duopharma, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata kadar kemasukan semula pesakit COPD di Malaysia ke hospital kerajaan agak tinggi dan memandangkan wad sesak, pemantauan jarak jauh boleh memberi impak positif ketara bagi mengurangkan keperluan pesakit untuk kembali ke hospital.
“Pemantauan masa nyata membolehkan kakitangan perubatan mengesan perubahan dalam kesihatan pesakit, sekali gus membolehkan campur tangan tepat pada masanya dan meningkatkan hasil pesakit.
“Selain itu, pemantauan jarak jauh juga membantu pesakit yang tinggal di kawasan terpencil atau mereka yang menghadapi cabaran dalam perjalanan ke fasiliti penjagaan kesihatan untuk pemeriksaan berkala,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Respiree Pte Ltd., Dr Gurpreet Singh mengulas bahwa COPD yang bertambah buruk mendorong kedua-dua morbiditi dan kematian justeru penting untuk mengenal pasti penyakit lebih awal dan campur tangan dengan terapi yang betul.
“Dengan menggunakan RS001 Respiree, doktor kini mempunyai peluang untuk mengenal pasti tahap keterukan penyakit, bukan beberapa jam atau minit lebih awal, tetapi beberapa hari lebih awal, menggunakan data fisiologi pernafasan.
“Ini boleh membolehkan pesakit menerima rawatan pencegahan dengan cepat dengan segera sebelum permulaan keterukan,” tambahnya. -DagangNews.com


