TPC Pluc cadang beli tanah bernilai RM5.2 juta di Rembau
diyana
13/06/2023 - 09:30
KUALA LUMPUR 13 Jun - Pengeluar telur TPC Plus Bhd membeli empat bidang tanah pertanian pegangan bebas seluas 40 hektar di Rembau, Negeri Sembilan yang bernilai RM5.2 juta atau RM130,000 setiap hektar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, TPC berkata anak syarikatnya, Teck Ping Chan Agriculture Sdn Bhd (TPCA) telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) untuk pengambilalihan tersebut dengan Mun Wah Estate Sdn Bhd pada 12 Jun.
Nilai buku bersih tanah itu adalah RM1.17 juta.
TPC menjelaskan bahawa tanah itu sesuai untuk dijadikan ladang ternakan ayam dan agak dekat dengan pejabat TPCA di Alor Gajah, Melaka.
“Cadangan pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan TPCA untuk membina lebih banyak rumah ladang dan meningkatkan pengeluaran telur.
“Ini dijangka memberikan pendapatan tambahan dan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan TPC,” tambah kumpulan itu.
Dari segi sumber pembiayaan, TPC berkata tanah itu akan dibeli dengan dana dan/atau pinjaman yang dijana secara dalaman, namun pecahan pembiayaan masih belum dimuktamadkan.
Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pengambilalihan itu disasarkan siap dalam tempoh tiga bulan dari tarikh SPA, sebelum 12 September 2023. -DagangNews.com

