‘Durian runtuh’ tanah pusat data, ladang solar wajar disalur semula kepada industri sawit - Ong Kian Ming

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 3:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

‘Durian runtuh’ tanah pusat data, ladang solar wajar disalur semula kepada industri sawit - Ong Kian Ming Image from: ‘Durian runtuh’ tanah pusat data, ladang solar wajar disalur semula kepada industri sawit - Ong Kian Ming hamden07/10/2026 - 15:51 Gambar hiasan ini dijana Kecerdasan Buatan. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt - Malaysia wajar mempertimbangkan untuk mengenakan caj khas terhadap penukaran tanah perladangan kepada kegunaan bernilai tinggi seperti pusat data, dengan hasilnya disalurkan semula untuk membiayai penanaman semula kelapa sawit dan meningkatkan produktiviti.

 

Profesor Adjung Universiti Taylor’s, Dr Ong Kian Ming berkata, dana yang dikutip menerusi caj berkenaan juga boleh digunakan bagi inisiatif penyatuan tanah pekebun kecil.

 

Bercakap pada sesi panel Forum Minyak Sawit Malaysia 2026, beliau berkata, permintaan yang semakin meningkat terhadap pusat data dan taman perindustrian akan menjadikan tanah perladangan semakin menarik untuk ditukar guna dan dijual, terutama estet yang mempunyai pokok kelapa sawit berusia.

 

“Menukar estet kelapa sawit kepada taman perindustrian dan kemudiannya menjualnya kepada pemain pusat data boleh menjana keuntungan luar biasa.

 

“Kita bercakap mengenai hasil dan keuntungan yang berlipat kali ganda,” katanya pada forum yang dianjurkan Majlis Minyak Sawit Malaysia, pada Rabu.

 

Mengimbangi permintaan tanah yang semakin meningkat

Ong menjawab soalan mengenai bagaimana Malaysia boleh mengimbangi permintaan tanah yang semakin meningkat daripada pusat data dan taman perindustrian dengan keperluan mengekalkan keluasan tanaman kelapa sawit, memandangkan kepentingan tanaman itu terhadap keselamatan makanan.

 

Isu berkenaan semakin penting kerana keluasan tanaman kelapa sawit Malaysia dijangka tidak berkembang melebihi 5.7 juta hektar ketika ini.

 

Pada masa sama, kerajaan turut berikrar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara di bawah hutan dan litupan pokok.

 

Dengan ruang yang terhad untuk peluasan, penukaran lebih banyak tanah kelapa sawit boleh mengekang pengeluaran dan bekalan, melainkan hasil daripada ladang yang masih ada dapat ditingkatkan.

 

Malaysia kini menyaksikan ledakan pusat data susulan perkembangan model kecerdasan buatan (AI), selain usaha negara meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang turut mendorong sebahagian syarikat perladangan menukar tanah kepada ladang solar.

 

Analisis Maybank Investment Bank pada 2024 mendapati projek solar berskala besar mampu menjana keuntungan operasi sehingga 54 kali ganda lebih tinggi bagi setiap hektar berbanding estet kelapa sawit.

 

“Banyak wang boleh dijana daripada aktiviti seperti ini,” kata Kian Ming.

 

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sebarang pengenaan caj durian runtuh atau peningkatan kadar tukar guna tanah perlu mengambil kira potensi kelemahan dalam peraturan.

 

Katanya, pemaju boleh terlebih dahulu menukar tanah perladangan kepada kegunaan perindustrian tanpa mengisytiharkan bahawa tanah berkenaan akhirnya akan dibangunkan sebagai pusat data. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved