iSPOC pacu pertumbuhan Johor Plantations mulai 2027 - Phillip Capital

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 11:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

iSPOC pacu pertumbuhan Johor Plantations mulai 2027 - Phillip Capital Image from: iSPOC pacu pertumbuhan Johor Plantations mulai 2027 - Phillip Capital hamden18/09/2026 - 11:13 Lakaran artis Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) Johor Plantations Group di Ladang Pasir Logok Johor. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept - Pemulihan hasil tanaman dijangka menjadi pemacu utama pendapatan Johor Plantations Group Bhd (JPG) pada separuh kedua 2026 (2H26), manakala Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) berpotensi menyediakan sumber pertumbuhan baharu kepada kumpulan mulai 2027.

 

Phillip Capital berkata, prestasi JPG dijangka bertambah baik pada 2H26, disokong pemulihan hasil tanaman bermusim, peningkatan leverage operasi serta sumber bekalan tanaman luaran yang berterusan.

 

Firma penyelidikan itu menambah, pengeluaran bermusim dijangka meningkat mulai Ogos/September, meskipun faktor cuaca dan penanaman semula masih menjadi kekangan terhadap kadar pemulihan hasil tanaman.

 

"iSPOC dijangka menyediakan aliran pendapatan baharu mulai 2027 dan meningkatkan kepelbagaian sumber pendapatan JPG.

 

"Kompleks bersepadu itu telah mencapai 84% siap setakat Jun 2026, dengan kemudahan mula ditauliahkan secara berperingkat mulai suku ketiga 2026 (3Q26).

 

"Perkembangan tersebut dijangka menyokong peralihan JPG ke arah model perniagaan huluan, pertengahan dan hiliran yang lebih bersepadu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Phillip Capital berkata pihaknya kekal positif terhadap strategi jangka panjang JPG, khususnya usaha kumpulan meningkatkan integrasi hiliran serta potensi sumbangan pendapatan daripada iSPOC.

 

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk memberikan penilaian semula yang ketara kepada iSPOC memandangkan sumbangan pendapatannya dijangka meningkat secara berperingkat selepas proses pentauliahan,” katanya.

 

Firma itu berkata, sentimen terhadap JPG boleh menjadi lebih positif sekiranya pemulihan hasil buah tandan segar (FFB) berterusan, kos pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) menurun dan peningkatan operasi komersial iSPOC berjaya dilaksanakan.

 

Pemulihan pengeluaran dijangka beransur-ansur

Bagi 2H26, pengeluaran FFB JPG dijangka pulih secara berperingkat, disokong tempoh penuaian yang secara bermusim lebih kukuh serta trend hasil tanaman yang semakin baik.

 

Peningkatan pengeluaran dalaman bersama sumber tanaman luaran yang berterusan dijangka membantu meningkatkan penggunaan kapasiti kilang, penyerapan kos tetap dan margin.

 

Namun, proses pemulihan dijangka berlaku secara beransur-ansur berikutan penanaman semula dan risiko cuaca yang terus memberi tekanan terhadap pengeluaran dalam tempoh terdekat.

 

Susulan itu, firma penyelidikan menurunkan unjuran pengeluaran FFB bagi 2026 hingga 2028 sebanyak 1% hingga 5% bagi mencerminkan trend pengeluaran terkini, namun menjangkakan pertumbuhan kembali mengukuh mulai 2027.

 

Sasaran harga dinaikkan kepada RM1.97

Dalam perkembangan berkaitan, firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) JPG bagi 2026 hingga 2028 sebanyak 1% hingga 13%, mengambil kira andaian harga isirung sawit (PK) yang lebih tinggi meskipun terdapat semakan menurun terhadap andaian pengeluaran FFB, CPO dan PK.

 

Susulan semakan unjuran pendapatan itu, sasaran harga (TP) 12 bulan JPG dinaikkan kepada RM1.97 daripada RM1.75, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2027E yang tidak berubah pada 15 kali.

 

Saranan terhadap saham JPG dikekalkan pada PEGANG. Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk turun naik pengeluaran, perubahan harga produk sawit, inflasi kos, ketidaktentuan kawal selia, risiko geopolitik serta ketidaktentuan ekonomi makro yang lebih meluas. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved