Duta Enclave: Kerajaan tawar cadangan penyelesaian ganti rugi

14 Aug 2026 • 3:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Duta Enclave: Kerajaan tawar cadangan penyelesaian ganti rugi

KUALA LUMPUR: Pertikaian mengenai ganti rugi yang perlu dibayar oleh Kerajaan kepada syarikat Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan Estate) kerana menceroboh tanah yang dikenali sebagai Duta Enclave hampir mencapai kata sepakat.

Ia selepas pihak kerajaan yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan memaklumkan pihaknya telah mendapat arahan untuk mengemukakan cadangan penyelesaian kepada syarikat berkenaan.

Tambahnya, cadangan penyelesaian oleh Kementerian Kewangan itu diterima olehnya pada 13 Ogos lalu.

“Kami ingin menyelesaikan kes ini secepat mungkin. Bagaimanapun, demi berlaku adil kepada plaintif (Semantan Estate), saya pasti mereka memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan anak guam mereka sebelum dapat memutuskan sama ada perkara ini boleh diselesaikan secara baik,” katanya.

Sementara itu, peguam mewakili SESB, Ira Biswas, mengesahkan tawaran itu telah diterima oleh anak guamnya dan memohon agar mahkamah menangguhkan prosiding pada hari ini bagi membolehkan pihaknya meneliti terma-terma penyelesaian.

Bagaimanapun, Hakim Roslan Mat Nor menolak permohonan penangguhan prosiding berkenaan kerana kes telah ditangguhkan beberapa kali sebelum ini dan tidak boleh ditangguhkan pada saat akhir tanpa alasan kukuh.

Beliau kemudian mengarahkan pendengaran bagi menentukan jumlah pampasan diteruskan dengan saksi pertama iaitu Foo Gee Jen, seorang penilai berlesen dan Penasihat Kumpulan di CBRE WTW, tampil memberi keterangan dan mengesahkan dua laporan penilaian berhubung tanah berkenaan.

Pendengaran bersambung pada 21 Ogos ini.

Pada 13 November 2025, Mahkamah Persekutuan memutuskan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave, adalah milik Kerajaan Malaysia dan tidak boleh dipertikaikan.

Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lee Swee Seng ketika itu memutuskan bahawa Semantan layak mendapat ganti rugi bagi tanah yang telah diceroboh kerajaan.

Sehubungan itu, panel mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk mengemukakan jumlah ganti rugi yang wajar diterima atas tanah yang telah diceroboh berdasarkan nilai tanah pada tahun 1956.

Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Semantan memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi penempatan diplomat dan duta.

Pada 2003, Semantan memfailkan pula saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan. – UTUSAN

The post Duta Enclave: Kerajaan tawar cadangan penyelesaian ganti rugi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved