Duta Jepun ke Malaysia imbau kenangan perbincangan dengan Salahuddin Ayub

24 Jul 2023 • 4:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Ahad.

Duta itu mengimbau kembali perbincangan dengan Allahyarham pada Mac lalu dan berkongsi foto pertemuan mereka melalui akaun Twitternya.

“Saya sangat dukacita mendengar berita pemergian YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Saya masih ingat perbincangan saya dengannya pada Mac.

“Takziah kepada keluarga beliau,” katanya.

Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Dilahirkan pada 1 Dis 1961, Salahuddin dilantik menganggotai Kabinet sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 Nov tahun lalu, Ahli Parlimen Pulai itu dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Sementara itu, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters, menerusi ciapan di Twitternya berkata bahawa beliau sangat sedih mendengar berita mengenai pemergian Salahuddin.

“Kami semua di kedutaan mengucapkan takziah kepada keluarganya dan orang yang tersayang ketika saat yang sukar ini,“ katanya. -Bernama