Duta Palestin ke Malaysia ucap selamat Hari Kebangsaan, doakan negara terus maju dan diberkati

26 Aug 2025 • 3:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Duta Palestin ke Malaysia ucap selamat Hari Kebangsaan, doakan negara terus maju dan diberkati

image is not available

26/08/2025 - 15:48

Walid Abu Ali/Gambar Bernama Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali merakamkan penghargaannya terhadap keprihatinan kerajaan dan rakyat negara ini yang sentiasa bersatu hati menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berkata, sepanjang tujuh tahun berada di Malaysia, isu Palestin adalah antara isu yang sangat dekat di hati rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

“Ke mana sahaja saya pergi dan siapa sahaja yang saya jumpa, pasti akan menunjukkan solidariti yang teguh, sokongan konsisten, serta kasih sayang yang mendalam terhadap Palestin.

“Saya sangat mengkagumi semangat rakyat Malaysia yang sanggup mengetepikan semua perbezaan mereka untuk berdiri teguh dan bersolidariti dengan Palestin.

“Ini antara keindahan yang ada di Malaysia di mana saya saksikan isu Palestin boleh menyatukan mereka,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 yang dimuatnaik Bernama hari ini.

Beliau turut menzahirkan rasa terharu dan terima kasih rakyat Palestin terhadap kelantangan Malaysia yang telah menjadikan isu Palestin sebagai salah satu keutamaan di peringkat tempatan, negara, serantau dan antarabangsa.

“Pendirian moral yang teguh serta perpaduan dan kemanusiaan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia adalah sesuatu yang amat membanggakan dan dihargai oleh Palestin.

Dalam video tersebut, beliau turut mendoakan agar Malaysia terus maju dan aman serta mengucapkan tahniah atas sambutan hari istimewa itu.

“Malaysia yang dihormati, di Hari Kemerdekaan yang mulia ini, saya dengan tulus mengucapkan Selamat Hari Merdeka dan Selamat Hari Malaysia.

“Semoga Malaysia terus maju dan diberkati. Saya juga ingin merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan adil rakyat Palestin,” katanya. - DagangNews.com

standard