TNB perkenal Insentif Sinaran Merdeka 2025 serikan sambutan Hari Kebangsaan ke-68

25/08/2025 - 12:34
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tradisi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan menawarkan Insentif Sinaran Merdeka 2025 yang membolehkan pelanggan komersial mengurangkan kos pencahayaan hiasan bangunan dan kawasan sekitar sepanjang sambutan hari istimewa itu.
TNB berkata, program tahunan yang mula diperkenalkan sejak tahun 2000 itu terus mendapat sambutan menggalakkan dengan 1,027 permohonan direkodkan setakat 15 Ogos 2025.
“Tahun lalu, TNB menerima sebanyak 1,863 permohonan.
“Angka ini menunjukkan minat berterusan daripada pelanggan komersial untuk menyertai inisiatif ini yang bukan sahaja menjimatkan kos, malah menambah keceriaan suasana sambutan Hari Kebangsaan,” TNB dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa peserta program tersebut mengakui penglibatan mereka adalah untuk menyemarakkan semangat patriotik dan memeriahkan sambutan hati Istimewa itu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pengurus Integrated Facility Lalaport Mall, Mohd Fizan Mat Nor berkata, usaha itu memberi peluang pelanggan komersial menzahirkan semangat patriotik.
“Kami amat menghargai inisiatif ini. Usaha menggalakkan pencahayaan hiasan bangunan serta kawasan sekitar mewujudkan suasana meriah dan penuh semangat sepanjang sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Selain itu, Timbalan Pengurus Besar Sungei Wang Plaza, Abdul Hadi Ali berkata, penyertaan mereka dalam program berkenaan adalah sebagai tanda cinta kepada negara.
“Sebagai sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, kami berbangga menyertai Program Sinaran Merdeka kerana ia juga adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami,” katanya.

Dalam pada itu, TNB berkata, selaras dengan Penstrukturan Tarif Elektrik berkuat kuasa 1 Julai 2025, pihaknya telah menambah baik skim tahun ini dengan memperkenalkan kadar insentif khusus untuk pelanggan Bukan Domestik Voltan Rendah dan Voltan Sederhana yang menjalankan aktiviti komersial seperti bangunan pencakar langit, pejabat, kompleks membeli-belah, hotel dan stesen minyak.
TNB berkata, pelanggan yang layak ialah mereka di bawah kategori Tarif Am dan Tarif ToU (Time-of-Use) yang telah menerima bekalan elektrik sebelum 1 Ogos 2024 serta mempunyai rekod pengebilan sekurang-kurangnya satu bil sebenar pada bulan Mei, Jun atau Julai 2025.
Menurut TNB, insentif ini berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2025, dengan kadar 28.91 sen/kWj (Voltan Rendah) – 57% lebih rendah daripada kadar biasa dan 13.37 sen/kWj (Voltan Sederhana) – 45% lebih rendah daripada kadar biasa.
“Pengiraan dibuat berdasarkan peningkatan penggunaan berbanding purata tiga bulan sebelumnya (Mei–Julai 2025). Manfaat tersebut akan dipaparkan secara sekali gus dalam bil elektrik Oktober 2025 di bawah keterangan “Insentif Sinaran Merdeka”.
“Permohonan boleh dibuat hingga 15 September 2025 melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau di mana-mana Kedai Tenaga berhampiran,” katanya. - DagangNews.com
standard



