Dutch Lady catat hasil suku tahunan tertinggi dalam sejarah, RM397.8 juta pada 1QFY26

LocalBusiness & Finance
19 May 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dutch Lady catat hasil suku tahunan tertinggi dalam sejarah, RM397.8 juta pada 1QFY26 Image from: Dutch Lady catat hasil suku tahunan tertinggi dalam sejarah, RM397.8 juta pada 1QFY26 liza19/05/2026 - 17:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Mei – Dutch Lady Milk Industries Berhad mencatatkan peningkatan prestasi kewangan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 dengan hasil dan keuntungan bersih masing-masing merekodkan pertumbuhan tahunan disokong oleh jualan lebih tinggi dalam segmen utama serta keadaan pasaran yang stabil.

 

Syarikat pengeluar produk tenusu itu merekodkan hasil sebanyak RM397.8 juta, meningkat 6.5% berbanding RM373.4 juta pada tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencatatkan rekod hasil suku tahunan tertinggi dalam sejarah kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata pertumbuhan hasil disokong oleh peningkatan jualan susu cair teras serta prestasi kukuh saluran jualan luar rumah seperti kafe, restoran dan pelbagai institusi.

 

“Selain itu, pelancaran produk baharu pada tahun 2025 turut terus menyumbang kepada momentum jualan, di samping permintaan stabil terhadap produk nutrisi harian.

 

“Keuntungan operasi meningkat kepada RM42.2 juta, naik 21.5% berbanding RM34.8 juta pada tempoh sama tahun lalu, disokong oleh pertumbuhan volum serta kecekapan kos,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagaimanapun, Dutch Lady mencatatkan penyusutan keuntungan operasi sebanyak -9.5% berbanding RM46.7 juta pada suku keempat 2025, disebabkan peningkatan kos input serta pelaburan lebih tinggi dalam pengiklanan dan promosi.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM40.7 juta, naik 23.6% tahun ke tahun, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) mencatat RM30 juta, meningkat 19.7%.

 

Menurut Dutch Lady, peningkatan keuntungan ini turut disokong oleh ketiadaan kos sekali sahaja seperti perbelanjaan peralihan operasi yang dicatatkan pada tahun sebelumnya sebanyak RM8.3 juta.

 

t

 

Syarikat turut mendapat manfaat daripada kesan pertukaran mata wang asing yang lebih baik serta penurunan sebahagian kos komoditi, walaupun masih berdepan tekanan harga bahan mentah tertentu.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan susut kepada RM1.03 bilion berbanding RM1.09 bilion sebelumnya, dipengaruhi oleh pengurangan tunai dan inventori.

 

Inventori menurun kepada RM187.5 juta daripada RM219.5 juta, mencerminkan pengurusan stok yang lebih teliti serta perubahan corak permintaan.

 

Bagi prospek 2026, Dutch Lady menjangkakan persekitaran perniagaan kekal mencabar dengan tekanan kos bahan mentah, tenaga dan logistik akibat ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik di Timur Tengah.

 

Syarikat turut menjangka harga susu mentah akan meningkat pada separuh kedua 2026 yang akan memberi tekanan kepada margin keuntungan.

 

Namun begitu, permintaan pengguna terhadap produk nutrisi asas dijangka kekal stabil, disokong oleh pendapatan boleh guna yang berdaya tahan serta bantuan kerajaan seperti program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

 

Dutch Lady turut menyatakan komitmen untuk terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pengurusan kos, inovasi produk serta pengukuhan jenama bagi mengekalkan daya saing jangka panjang.

 

Syarikat turut menegaskan operasi pengeluaran telah berjaya dipindahkan sepenuhnya ke fasiliti baharu berteknologi IR4.0 di Bandar Enstek, yang dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan kapasiti pengeluaran pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini standard