Pharmaniaga catat untung bersih RM32.2 juta pada 1QFY26, sahkan bekalan ubat kekal stabil dan mencukupi

LocalBusiness & Finance
18 May 2026 • 6:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pharmaniaga catat untung bersih RM32.2 juta pada 1QFY26, sahkan bekalan ubat kekal stabil dan mencukupi Image from: Pharmaniaga catat untung bersih RM32.2 juta pada 1QFY26, sahkan bekalan ubat kekal stabil dan mencukupi hamden18/05/2026 - 18:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Mei - Pharmaniaga Bhd mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM32.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26), disokong oleh pengukuhan asas perniagaan dan ketahanan operasi kumpulan.

 

Prestasi itu meningkat berbanding RM30.2 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus menjadikan suku berkenaan sebagai keuntungan bersih ke-9 berturut-turut sejak Q1FY2024.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 11.7% kepada RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion pada Q1FY2025, dipacu oleh peningkatan aktiviti perniagaan merentasi segmen utama.

 

Keuntungan sebelum zakat dan cukai juga meningkat kepada RM46.4 juta daripada RM45.5 juta sebelum ini.

 

Pharmaniaga berkata prestasi itu disokong oleh peningkatan permintaan daripada hospital kerajaan di bawah Approved Products Purchase List (APPL), momentum berterusan dalam bahagian pembuatan serta pengurangan kos kewangan susulan pembayaran balik sebahagian pinjaman.

 

Kos kewangan susut ketara sebanyak RM7.2 juta kepada RM17.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh pengurusan inventori yang lebih berkesan.

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, dengan tarikh pembayaran ditetapkan pada 3 Julai 2026.

 

Ini merupakan pengumuman dividen pertama sejak suku ketiga FY2022, mencerminkan pengukuhan prestasi kewangan dan kedudukan kewangan kumpulan yang semakin baik.

 

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkifli Jafar berkata, Q1FY2026 merupakan pencapaian penting kerana syarikat kini beralih daripada fasa regularisasi kepada pertumbuhan.

 

Menurutnya, segmen pembuatan terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan, disokong permintaan lebih tinggi bagi produk keluaran sendiri serta peningkatan kecekapan operasi.

 

Beliau berkata segmen logistik dan pengedaran turut mencatat pertumbuhan pesanan lebih tinggi di bawah APPL yang diperluaskan, manakala operasi di Indonesia kekal stabil disokong sumbangan lebih kukuh daripada prinsipal sedia ada.

 

“Kami juga sedang memperkukuh portfolio biopharmaceutical dan farmaseutikal termasuk pembangunan insulin manusia dan vaksin, selain pengenalan produk baharu dalam rawatan kardiovaskular, urologi dan metabolik,” katanya.

 

Beliau berkata pelancaran rangkaian ubat diabetes baharu pada suku akan datang dijangka memperkukuh lagi portfolio syarikat dalam segmen penjagaan kesihatan swasta.

 

Pharmaniaga turut menegaskan tiada gangguan langsung terhadap bekalan ubat di fasiliti kesihatan awam walaupun berdepan tekanan geopolitik dan kos global, dengan tahap inventori kekal stabil dan mencukupi.

 

Bagaimanapun, kumpulan akan terus berwaspada serta bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan rantaian bekalan kesihatan negara kekal berdaya tahan, cekap dan stabil. - DagangNews.com

Terkini standard