
Dyson HushJet Mini Cool Fan kini dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia. Ia merupakan kipas mudah alih dengan rekaan kompak yang boleh digunakan dalam pelbagai cara sama ada dipegang, dipakai di leher atau diletakkan di atas meja. Hal ini menjadikannya praktikal untuk digunakan bagi tujuan harian.

Dyson HushJet Mini Cool Fan menggunakan motor Brushless DC yang mampu berputar sehingga 65,000 RPM untuk menghasilkan aliran udara kuat 25m/s dengan bunyi lebih senyap. Motor Brushless DC ialah sejenis motor elektrik yang tidak menggunakan berus (brush), oleh itu ia lebih tahan lama, senyap dan kurang panas. Sementara itu, motor biasa menggunakan berus karbon yang bergesel lalu menghasilkan bunyi, cepat haus dan kurang efisien.

Selain itu, ia direka dengan muncung khas yang membantu aliran udara lebih baik sambil mengurangkan bunyi, manakala tahap bunyi berbeza mengikut mod iaitu Boost (72.5 dBA), kelajuan 5 (68 dBA) dan kelajuan 1 (52 dBA). Seterusnya, kipas ini dilengkapi bateri 5,000mAh yang bertahan sehingga enam jam dengan pengecasan sekitar tiga jam melalui USB‑C. Di samping itu, Dyson turut menawarkan aksesori seperti Universal Mount dan Grip Clip untuk kegunaan lebih serbaguna.
Dyson HushJet Mini Cool Fan kini dijual pada harga RM499 selagi stok masih ada.

