Dzuleira Abu Bakar dilantik sebagai CEO SKS Airways baharu
zulfadli
26/06/2023 - 09:33
KUALA LUMPUR 26 Jun - SKS Airways Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Dzuleira Abu Bakar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 15 September 2023.
Syarikat penerbangan itu berkata, Dzuleira akan mengambil alih jawatan itu daripada pemangku CEO dan Pengarah Eksekutif semasa, Datuk Rohman Ahmad.
Rohman akan kekal berada dalam lembaga pengarah SKS Airways sebagai Pengarah Eksekutif.
"Dzuleira ialah pemimpin berwawasan dengan lebih daripada 20 tahun rekod prestasi cemerlang dalam modal teroka, keusahawanan, pelaburan dan industri teknologi," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, Dzuleira telah memberikan notis peletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), baru-baru ini.
Sementara itu, Rohman berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan Dzuleira sebagai CEO baharu.
"Beliau ialah peneraju transformatif, didorong oleh tujuan yang mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam industri teknologi dan inovasi. Beliau juga mempunyai keupayaan strategik dan organisasi yang luar biasa serta keberkesanan operasi yang terbukti.
"Kami berharap Dzuleira mempercepatkan potensi dan pertumbuhan penuh SKS Airways sebagai syarikat penerbangan serantau terkemuka yang memberikan pertumbuhan jangka panjang dan nilai untuk semua pemegang saham kami," katanya.
Dzuleira pula berkata, beliau gembira kerana dilantik sebagai CEO SKS Airways.
"Ia adalah masa yang sesuai untuk berada dalam industri penerbangan dan saya teruja dengan visi pemegang saham untuk SKS Airways. Terdapat banyak potensi dalam SKS Airways dan saya tidak sabar untuk menerajui syarikat penerbangan itu, katanya.
Bulan lepas, SKS Airways menjalin kerjasama strategik dengan peneraju industri penerbangan, Embraer Asia Pacific dan Azorra Aviation Holdings, untuk pajakan 10 jet lorong tunggal Embraer E195-E2 dalam perjanjian bernilai lebih AS$840 juta (RM3.9 bilion) daripada Azorra.
Dengan ketibaan dua jet Embraer E195-E2 pertama pada Januari 2024 akan melengkapkan kumpulan pesawat baharu itu, SKS Airways akan menjadi syarikat penerbangan serantau pertama beroperasi di luar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. - DagangNews.com




