E-dagang: Kawal selia diperkukuh, lindungi kepentingan PMKS

LocalBusiness & Finance
26 Jun 2026 • 4:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

E-dagang: Kawal selia diperkukuh, lindungi kepentingan PMKS

Kuala Lumpur: Satu kerangka perundangan yang lebih inklusif dan komprehensif akan diwujudkan bagi memastikan kepentingan pasaran serta pemegang taruh tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terus terpelihara dan berdaya saing dalam pertumbuhan sektor e-dagang negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu antara usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi digital dan sektor e-dagang berkembang secara mampan dan adil tanpa menjejaskan kepentingan pemain tempatan.

Beliau berkata kajian semakan terhadap semua undang-undang berkaitan sektor e-dagang telah dimulakan sejak April 2024 dan laporan akhir kajian itu kini boleh diakses menerusi laman sesawang KPDN.

“Kementerian juga telah menyiapkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung ketetapan dasar bagi penggubalan undang-undang baharu berkaitan e-dagang yang dijadual dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu pertama Julai depan.

“Selepas keputusan Jemaah Menteri diperoleh, tindakan susulan ialah menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) yang akan mengambil kira ulasan semua kementerian serta semakan Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, di Dewan Rakyat, di sini, Khamis.

Mengulas lanjut, Armizan berkata Jemaah Menteri turut memutuskan pembentukan Jawatankuasa Khas Berkaitan Impak Perniagaan Asing Dalam Negara bagi meneliti pelbagai isu, termasuk risiko lambakan barangan dan perkhidmatan asing melalui platform e-dagang.

Katanya, jawatankuasa yang dianggotai beberapa kementerian dan agensi serta dipengerusikan Kementerian Kewangan itu turut meneliti isu penyalahgunaan pas imigresen untuk tujuan berniaga dan bekerja di Malaysia.

“Jawatankuasa ini dianggotai beberapa kementerian dan agensi berkaitan termasuk KPDN, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor e-dagang kini menjadi antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak RM248.2 bilion atau 13.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Selain itu, katanya, pendapatan sektor berkenaan turut menunjukkan peningkatan konsisten daripada RM1.1 trilion pada 2021 kepada RM1.3 trilion pada 2025, sekali gus membuktikan potensinya sebagai sektor strategik yang terus berkembang pesat.

Sehubungan itu, beliau berkata walaupun Malaysia sebagai sebuah negara dagang mengamalkan pasaran terbuka dan pendekatan itu turut merangkumi strategi memacu pertumbuhan ekonomi digital termasuk sektor e-dagang, kerajaan tidak akan sesekali membelakangkan kepentingan pemegang taruh tempatan.

“Pertumbuhan sektor ini perlu berlandaskan prinsip keadilan dan tanggungjawab serta diseimbangkan dengan kelangsungan perniagaan tempatan dan perlindungan pengguna, manakala peniaga tempatan khususnya PMKS wajib diberi ruang untuk bersaing secara saksama,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved