hamden01/10/2026 - 11:14 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt - Konsortium e-Mutiara Berhad (e-Mutiara) terus memperkukuh perkhidmatan bas ekspres antara Kuala Lumpur dan Singapura dengan penambahan lapan bas dua tingkat MAN generasi baharu yang dilengkapi teknologi keselamatan dan bantuan pemanduan terkini.
Pengendali bas ekspres antara yang terbesar di Malaysia itu menerima lapan bas MAN berukuran 12.9 meter dengan kapasiti 38 penumpang sebagai sebahagian daripada usaha memperbaharui armada serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi laluan berkenaan.
Bas berkenaan menggunakan badan Alpha DD12 keluaran Truckquip Sdn Bhd dan dibina berasaskan casis generasi baharu MAN RR5 ELSA yang dilengkapi sistem elektronik serta teknologi bantuan pemanduan termaju.
Penyerahan rasmi oleh Truckquip dan MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) disaksikan Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Masita Mat Isa.
Masita berkata, komitmen e-Mutiara untuk terus melabur dalam armada yang mengutamakan keselamatan dan keselesaan penumpang, selain memenuhi keperluan kelestarian menerusi penggunaan enjin diesel spesifikasi Euro V yang menghasilkan pelepasan lebih rendah, adalah langkah positif.
Pengarah Urusan e-Mutiara, Naemah Ya’acob berkata, kerjasama yang semakin berkembang dengan MAN membolehkan syarikat itu melengkapkan armadanya dengan teknologi dan inovasi terkini dari Jerman.

“Di e-Mutiara, tumpuan kami sentiasa kepada keselamatan penumpang, pemandu dan pengguna jalan raya lain.
“Apa yang paling kami hargai mengenai MAN ialah casisnya bukan sahaja direka bentuk dengan kejuruteraan berkualiti tinggi, malah dilengkapi Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) sebagai ciri standard.
“Lebih penting lagi, sokongan perkhidmatan selepas jualan MAN juga telah melebihi jangkaan kami. Semua bas MAN kami dilindungi Kontrak Pembaikan dan Penyelenggaraan (RMC) yang memastikan kesemuanya sentiasa berada dalam keadaan terbaik serta diselenggara oleh juruteknik pakar MAN,” katanya.
Bas MAN itu turut dilengkapi sistem telematik, Sistem Pengurusan Armada serta sistem had laju kalis ubah suai yang ditetapkan di kilang pada 90 kilometer sejam (km/j) di lebuh raya dan 70km/j di cerun menuruni bukit.
Antara ciri ADAS utama yang ditawarkan termasuk Bantuan Brek Elektronik (EBA), Amaran Pertukaran Lorong (LDW) dan Kawalan Cruise Control.
Dalam beberapa bulan akan datang, E-MUTIARA dijangka menerima lebih banyak bas MAN baharu, termasuk bas satu tingkat sepanjang 14.7 meter yang pertama dipasang secara tempatan untuk operasi laluan baharu.
Syarikat itu turut merancang menambah bas MAN generasi baharu yang lebih mewah bagi perkhidmatan premium Mutiara LUXE. - DagangNews.com





