
Kota Kinabalu: Lapan laluan Bas.MY atau “Bas Pink” akan dijajar semula bagi mengoptimumkan perkhidmatan dan memenuhi kehendak penumpang, dengan jumlah penumpang mencecah 367,798 setakat 20 Sept.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP Sabah), Senator Datuk Phoong Jin Zhe berkata penjajaran itu dimuktamadkan pada mesyuarat ketujuh lembaga berkenaan bagi 2026, Khamis lepas.
“Dengan penjajaran ini, laluan bas akan meliputi sekurang-kurangnya 70 peratus laluan utama di kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata laluan baharu itu akan meliputi Tanjung Aru, Klinik Luyang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Bandar Sierra dan Kota Kinabalu High School.
Phoong berkata proses penjajaran dijangka selesai pada 15 Okt, manakala penyelarasan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), DBKK dan pihak berkepentingan lain akan diteruskan bagi menyediakan kemudahan seperti hentian bas, kawasan lay-by dan petak bas di lokasi kritikal.
Beliau turut mengarahkan pemantauan dan penguatkuasaan operasi Bas.MY diperkukuh “bagi memastikan perkhidmatan bas beroperasi secara teratur, mematuhi syarat operasi dan memberikan perkhidmatan yang baik kepada penumpang”.
Phoong turut menegaskan perkhidmatan pelesenan kenderaan perdagangan perlu ditambah baik dengan mengurangkan birokrasi dalam proses sedia ada.
“Antara perkara yang diberi perhatian ialah keperluan dokumen sokongan yang tidak banyak menyumbang kepada objektif pengeluaran lesen, seperti kontrak perniagaan, maklumat kebankrapan dan dokumen lain,” katanya.


