
WASHINGTON: Alexandra Eala terus mencipta sensasi apabila muncul pemain pertama dari Filipina menjulang gelaran Jelajah WTA selepas menundukkan pilihan utama, Jessica Pegula 4-6, 6-4, 6-0 pada final Terbuka Washington yang tertangguh hampir 24 jam akibat hujan.
Pemain kidal berusia 21 tahun itu bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menguasai sepenuhnya dua set berikutnya dengan memenangi sembilan permainan berturut-turut, sekali gus menafikan Pegula daripada meraih gelaran ke-12 dalam kariernya.
“Perasaan saya ketika ini hanyalah kegembiraan semata-mata. Memenangi kejohanan WTA 500 memang sesuatu yang luar biasa dan ia merupakan pencapaian yang sangat besar buat saya.
“Pada awal minggu ini, saya langsung tidak menyangka akan memegang trofi ini, malah pada awal tahun sekali pun saya tidak pernah membayangkannya. Sebab itu saya akan sentiasa menghargai detik seperti ini,” katanya.
Kejayaan itu turut melonjakkan Eala ke ranking tertinggi sepanjang kariernya apabila dijangka menghuni tangga ke-20 dunia selepas menewaskan deretan pemain ternama termasuk juara Olimpik, Zheng Qinwen, Elina Svitolina, Naomi Osaka, Leylah Fernandez dan Pegula.
“Perjalanan minggu ini memang sangat sukar kerana saya tahu cabarannya amat besar dan undian saya juga bukan mudah. Sebab itu saya benar-benar bangga kerana berjaya mengatasi setiap halangan yang datang,” katanya.
Pegula pula mengakui aksi yang tertangguh akibat hujan memberi kesan kepada rentaknya apabila gagal mengekalkan prestasi yang dipamerkan pada hari pertama sehingga membenarkan Eala mendominasi baki perlawanan.
“Saya rasa seperti bermain dalam dua perlawanan yang berbeza kerana hari ini saya langsung tidak dapat menemui rentak, sedangkan semalam saya bermain jauh lebih baik, manakala Eala pula tampil jauh lebih cemerlang berbanding sehari sebelumnya,” kata Pegula. – AGENSI/UTUSAN
The post Eala pecah tembok sejarah Filipina appeared first on Utusan Malaysia.
