eBeliaRahmah: Tiga eWallet terpilih untuk pemberian RM200, penggunaan lebih terhad

21 Jun 2023 • 3:51 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Akhirnya hari ini kerajaan mengumumkan secara rasmi cara pemberian kredit eBeliaRahmah yang telah diumumkan sejak Belanjawan 2023 dibentangkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut Kementerian kewangan, sebanyak tiga penyedia eWallet terpilih untuk inisiatif ini dengan peruntukan sebanyak RM200 juta disediakan, akan memanfaatkan seramai 2 juta belia yang layak.

Tiga platform eWallet tersebut adalah:

  1. Boost
  2. Setel
  3. Touch n Go eWallet

Belia warganegara Malaysia yang layak, akan menerima RM200 dalam bentuk kredit eWallet, peningkatan daripada RM150 tahun lepas. Mereka yang layak adalah warganegara Malaysia yang:

  1. Mencapai umur 18 ke 20 tahun pada 2023 pada tahun 2023 (lahir pada tahun 2003 sehingga 2005) ATAU
  2. Berstatus aktif sebagai pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi di Malaysia.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan eBeliaRahmah dibuka mulai Isnin, 26 Jun 2023 sehingga 22 Ogos 2023. Kredit dan manfaat eBeliaRahmah pula boleh dibelanjakan di luar talian sehingga 31 Ogos 2023. Penyedia perkhidmatan eWallet terlibat akan turut memberikan insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai atau diskaun mata ganjaran.

Kredit RM200 yang disediakan ini boleh digunakan di kedai dan peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow, menggunakan salah satu eWallet yang terlibat di dalam program ini. Tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

Menurut soalan lazim (FAQ) eBeliaRahmah, perkara yang tak boleh digunakan menerusi inisiatif ini adalah:

  1. Pemindahan "peer-to-peer";
  2. Penebusan tunai;
  3. Bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-tunai;
  4. Bayaran fi berkaitan Kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-tunai;
  5. Bil pascabayar telekomunikasi dan prabayar terintegrasi dengan aplikasi e-tunai;
  6. Pembelian permainan ("games") terintegrasi dengan aplikasi e-tunai;
  7. Bayaran tempat letak kereta dan/atau tol;
  8. Aktiviti berkaitan pelaburan terintegrasi dengan aplikasi e-tunai; dan
  9. Transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini, layari laman web eBeliaRahmah. Semak juga FAQ di sini.

Bacaan Berkaitan