
GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran virus Ebola di Republik Demokratik Congo kini meragut satu nyawa setiap 30 minit, menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan usaha menangani wabak itu.
Sejak wabak itu diisytiharkan di DR Congo pada 15 Mei lalu, sekurang-kurangnya 2,128 orang maut daripada lebih 4,500 kes yang disahkan.
PBB sebelum ini memberi amaran wabak itu berisiko menjadi wabak Ebola paling dahsyat dan paling banyak meragut nyawa dalam sejarah.
“Ini adalah wabak yang merebak paling pantas pernah direkodkan. Kita memerlukan tindakan pantas, berskala besar dan solidariti sebelum virus ini semakin mendahului usaha kita.
“Ebola sedang menang di Republik Demokratik Congo. Kita tidak boleh membiarkan virus ini mengatasi tindak balas kita.
“Ketika ini, wabak itu meragut satu nyawa setiap 30 minit. Lebih ramai penduduk berdepan risiko jangkitan,” kata Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Tom Fletcher ketika menggariskan usaha terbaharu untuk membendung virus tersebut.
Wabak Ebola merebak melalui sentuhan dengan cecair badan dan menyebabkan demam berdarah.
Fletcher berkata, negara-negara penderma setakat ini telah menyumbang hampir AS$300 juta (RM1.2 bilion) kepada dana bagi menangani wabak berkenaan.
Selepas mesyuarat agensi-agensi PBB, beliau berkata, tambahan AS$30.5 juta (RM124 juta) diperuntukkan daripada dana kecemasan PBB, selain AS$24 juta (RM98 juta) yang sebelum ini disalurkan untuk membantu DR Congo dan empat negara lain menangani wabak itu.
Kes Ebola dilaporkan di enam wilayah di DR Congo serta Uganda, termasuk kes yang dikesan berhampiran sempadan dengan Sudan Selatan.
Fletcher berkata, 20 kakitangan tambahan telah dihantar ke kawasan barisan hadapan wabak itu, namun lebih ramai petugas masih diperlukan.
Beliau turut menegaskan keperluan mendesak untuk menyediakan bekalan air, kemudahan kebersihan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan asas lain kepada penduduk di kawasan terjejas.
Wabak kali ke-17 itu berpunca daripada strain Bundibugyo, yang ketika ini belum mempunyai rawatan atau vaksin yang diketahui.
Ebola telah meragut lebih 15,000 nyawa di Afrika dalam tempoh 50 tahun lalu.
Wabak Ebola paling dahsyat sebelum ini berlaku antara 2018 hingga 2020, yang meragut hampir 2,300 nyawa daripada kira-kira 3,500 kes yang direkodkan.-AFP
The post Ebola ragut satu nyawa setiap 30 minit appeared first on Utusan Malaysia.






