ECERDC rekod RM5 bilion pelaburan di Pahang bagi tempoh Januari–September 2025

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2025 • 9:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECERDC rekod RM5 bilion pelaburan di Pahang bagi tempoh Januari–September 2025

image is not available

10/10/2025 - 09:11

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mencatat pelaburan bernilai RM5 bilion di Pahang dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu adalah 90% daripada sasaran tahunan RM5.6 bilion yang mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Daripada jumlah itu, sektor pembuatan menyumbang 41%, diikuti minyak dan gas (34%) serta perkhidmatan (25%).

Pelaburan itu telah mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri Pahang.

Selain itu, ECERDC turut mencatatkan pelaburan komited berjumlah RM3.9 bilion yang tertumpu dalam sektor pembuatan sebanyak 95% dan pertanian sebanyak 5%.

Pelaburan komited ini dijangka bakal mewujudkan 3,185 peluang pekerjaan apabila projek-projek tersebut direalisasikan sepenuhnya.

Pengumuman ini dibuat sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya.

Mesyuarat itu turut menyaksikan pertukaran dokumen pelaburan antara ECERDC dan empat syarikat utama bernilai RM1.6 bilion serta penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cherating kepada Jabatan Perikanan Negeri Pahang.

Empat syarikat tersebut ialah PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn. Bhd. yang akan membangunkan pusat data AI; Sinolion Wheels Technology Sdn. Bhd. bagi pengeluaran rim roda aloi aluminium; Malaysian Solar Resources Sdn. Bhd. untuk membangunkan kilang teknologi hijau; serta Lionphos Sdn. Bhd bagi pengeluaran fosfat gred makanan dan elektronik.

image is not available

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyokong sepenuhnya pelaburan ini kerana ia menjadi langkah penting dalam misi pembangunan sosio ekonomi Pahang.

“Kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan pelabur akan mendorong pertumbuhan mampan, memacu inovasi dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat tempatan.

“Projek-projek ini juga selari dengan matlamat kerajaan negeri untuk meningkatkan ketahanan ekonomi dan menjadikan Pahang sebagai destinasi pelaburan utama negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat pula berkata, kejayaan menarik pelaburan bernilai tinggi itu membuktikan keberkesanan model pembangunan seimbang yang dilaksanakan di wilayah Pantai Timur.

Katanya, pelbagai projek strategik yang dirancang akan memperkukuh daya tarikan pelaburan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan mampan.

“Dengan siapnya Projek TCIC nanti, ia bakal merancakkan aktiviti pelancongan tempatan dan meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik untuk menarik lebih banyak pelabur baharu.

“Pusat tersebut akan menjadi tunjang utama dalam pemuliharaan penyu terancam melalui program konservasi menyeluruh serta berperanan sebagai pusat pendidikan dan tarikan ekopelancongan.

“TCIC dijangka memberi kesan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya melalui peluang pekerjaan dan aktiviti pelancongan mampan,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai projek Jalan Penghubung Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) yang akan dibuka tidak lama lagi.

Projek infrastruktur strategik ini bertujuan mengukuhkan ketersambungan logistik dan menyokong Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Pakej 1, 2, 3A dan 4 sudah disiapkan dan diserahkan kepada pihak berkuasa, manakala Pakej 3B yang merangkumi pembinaan jalan raya dua lorong sepanjang 13 kilometer dan plaza tol baharu dijadualkan siap pada 21 Oktober 2025.

Apabila beroperasi sepenuhnya, projek ini akan meningkatkan akses dari Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ke MCKIP dan Pelabuhan Kuantan.

Peningkatan infrastruktur tersebut dijangka memperkukuh aliran perdagangan dan daya saing industri di wilayah Pantai Timur. Ia juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor logistik dan perindustrian di negeri Pahang.

ECER merangkumi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang serta daerah Mersing dan Segamat di Johor dengan keluasan lebih 69,000 kilometer persegi. Wilayah ini menyumbang kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara dan sedang berkembang pesat sebagai destinasi pelaburan utama.

Pertumbuhan ekonomi di ECER dipacu oleh empat teras strategik iaitu bakul makanan, destinasi pelancongan, pembuatan dan industri marin. - DagangNews.com

standard

View Original Article