Belanjawan 2026: Bayaran STR dipercepatkan, diskaun tol 50% selama dua hari sempena Deepavali

10/10/2025 - 18:26
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 10 Okt – Kerajaan mengumumkan diskaun tol 50% bagi tempoh dua hari sempena sambutan Deepavali yang akan disambut pada 20 Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai langkah tambahan bagi meringankan beban kewangan rakyat untuk perjalanan pulang ke kampung halaman.
“Langkah ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan turut mengumumkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 2025 akan diawalkan kepada 18 Oktober ini, bersempena sambutan perayaan Deepavali oleh masyarakat India.
“Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion daripada keseluruhan RM13 bilion yang disediakan tahun ini bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memanfaatkan hampir 9 juta penerima di seluruh negara,” katanya.
Sehingga kini, bayaran STR bagi Fasa 1 hingga Fasa 3 telahpun disalurkan dengan jumlah keseluruhan RM6 bilion, menunjukkan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.- DagangNews.com
standard

