Eco-Shop bakal disenarai di Pasaran Utama, sasar pertumbuhan dalam pasaran kedai barangan murah

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2025 • 11:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eco-Shop bakal disenarai di Pasaran Utama, sasar pertumbuhan dalam pasaran kedai barangan murah

image is not available

15/04/2025 - 11:47

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 15 April - Eco-Shop Marketing Bhd, antara peruncit nilai terbesar dan paling pesat berkembang di Malaysia bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dalam usaha meneroka potensi pertumbuan dalam segmen kedai barangan murah yang berkembang pesat tetapi masih kurang diterokai.

Didorong permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap produk mampu milik dan kemudahan membeli-belah, model perniagaan kedai barangan murah itu menawarkan potensi pertumbuhan yang besar dan Eco-Shop berhasrat untuk memanfaatkannya melalui tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang.

Sehingga 31 Mac 2025, Eco-Shop mengendalikan 358 cawangan di seluruh negara termasuk 22 kedai di bawah format Eco-Plus. Syarikat itu merancang untuk membuka kira-kira 70 kedai baharu setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang dengan fokus kepada kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, perjanjian taja jamin bersama Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) merupakan pencapaian penting dalam perjalanan IPO syarikat.

"IPO ini akan mengukuhkan kedudukan kewangan kami serta membolehkan kami untuk merebut peluang besar dalam pasaran peruncitan nilai yang semakin berkembang. Permintaan terhadap produk berkualiti pada Harga berpatutan kekal kukuh, dan penyenaraian ini akan membolehkan kami mempercepatkan pengembangan kedai, memperluas keupayaan pengedaran, dan melabur dalam teknologi maklumat serta inisiatif lain," katanya dalam satu kenyataan.

Eco-Shop kini bersedia untuk terus berkembang dalam sektor kedai barangan murah yang semakin mendapat tempat di Malaysia terutamanya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Syarikat itu menyasarkan untuk membuka kira-kira 70 kedai baharu setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.

Maklumat lanjut mengenai strategi pertumbuhan dan IPO Eco-Shop akan didedahkan semasa pelancaran prospektus dalam beberapa minggu akan datang.

Eco-Shop telah memeterai perjanjian taja jamin bersama Maybank IB yang bertindak sebagai penasihat utama, penyelaras global bersama, pengurus buku bersama, dan penaja jamin tunggal bagi IPO tersebut.

IPO itu akan melibatkan sehingga 862.146 juta saham, terdiri daripada 675.368 juta saham bagi tawaran institusi dan 186.778 juta saham bagi tawaran runcit.

Penajaan jamin bagi bahagian runcit IPO itu menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Eco-Shop menjadi syarikat tersenarai awam.

Ditubuhkan pada tahun 2003, Eco-Shop kini memegang kedudukan peneraju pasaran dari segi hasil dalam kategori kedai bajet setakat 31 Disember 2023. Rangkaian produknya merangkumi barangan jenama pihak ketiga dan juga jenama sendiri pada harga yang berpatutan, menarik perhatian pelanggan yang mementingkan nilai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Investment Bank dan Maybank IB, Michael Oh-Lau berkata, kedudukan pasaran Eco-Shop, model perniagaan yang boleh ditingkatkan skala serta fokus terhadap keterjangkauan menjadikannya pilihan menarik untuk pelabur.

"IPO menawarkan peluang jarang kepada pelabur untuk menceburi segmen peruncitan nilai di Malaysia yang kukuh dan berkembang pesat", katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com

standard