
PETALING JAYA – Sempena ulang tahun ke-23, Eco-Shop menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM250,000 menerusi kempen di seluruh negara yang berlangsung dari 5 Oktober hingga 29 November ini.
Kempen berkenaan diterajui pertandingan ‘Buy & Win’ dengan 19 pemenang bertuah berpeluang membawa pulang sebuah kereta Proton X70 1.5TD Premium, tiga motosikal Honda RS150R dan 15 unit Samsung Galaxy Z Fold8.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia Berhad, Jessica Ng berkata, kempen itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan dan komuniti yang terus menyokong Eco-Shop sejak penubuhannya 23 tahun lalu.
“Selama 23 tahun, kami kekal komited untuk memastikan barang-barang keperluan harian mudah diperoleh pada harga yang mampu milik oleh rakyat Malaysia.
“Seiring dengan perkembangan syarikat ini, komitmen tersebut tidak pernah berubah kerana kami percaya nilai yang terbaik wajar dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, di mana jua mereka berada, tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi menyertai peraduan itu, beliau berkata, pelanggan perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM35 dalam satu resit dan membuat pembayaran menggunakan Visa untuk menerima satu penyertaan, manakala ahli Eco-Shop layak menerima dua penyertaan bagi setiap pembelian yang memenuhi syarat.
“Dalam pembelian sama, pelanggan turut berpeluang menerima hadiah percuma dengan pembelian (Gift with Purchase) di semua cawangan Eco-Shop di seluruh negara, tertakluk kepada stok yang masih ada.
“Kami amat bersyukur kepada semua pihak yang bersama dengan Eco-Shop sepanjang 23 tahun ini. Melangkah ke hadapan, kami mahu terus menjadi jenama yang sentiasa diyakini rakyat Malaysia dalam menawarkan lebih banyak nilai setiap hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Eco-Shop tawar hadiah RM250,000 sempena ulang tahun ke-23 appeared first on Kosmo Online.






