
Selepas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pelbagai kisah mengenai kebaikan dan sisi peribadi beliau mula dikongsikan ramai.
Ada yang mengenang jasa dan nasihatnya, ada juga berkongsi momen kecil yang mungkin tidak pernah diketahui umum, namun cukup menggambarkan betapa beliau menghargai insan yang pernah hadir dalam perjalanan hidupnya.
Antara kisah yang menyentuh hati ialah mengenai seorang lelaki dikenali sebagai ‘Mangosteen Boy’, yang kekal dalam ingatan Allahyarhamah meskipun peristiwa membabitkan mereka berlaku puluhan tahun lalu.
Kisah itu dikongsikan oleh Dr Hazli menerusi TikTok, menceritakan usaha menjejaki individu berkenaan selepas Tun Siti Hasmah menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya.
Menurut perkongsian tersebut, tugas mencari ‘Mangosteen Boy’ diberikan kira-kira sebulan sebelum pertemuan mereka berjaya diatur, namun usaha pencarian bukan mudah kerana maklumat yang diberikan amat terhad.
Kejadian berlaku sekitar 1950-an
Tun Siti Hasmah hanya mengingati kejadian itu berlaku sekitar akhir 1950-an di Hutan Kampung ketika beliau bertugas di Hospital Jitra.
‘Mangosteen Boy’ sebenarnya merujuk kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 10 tahun yang mengalami kecederaan selepas terjatuh dari pokok manggis ketika cuba mengambil anak burung peliharaannya.
Pergelangan tangannya pada mulanya dilaporkan patah, namun beberapa minggu kemudian keadaannya menjadi lebih serius akibat jangkitan sehingga dia koma dan tangan kanannya terpaksa dipotong.
Peristiwa berkenaan ternyata meninggalkan kesan mendalam kepada Tun Siti Hasmah. Walaupun puluhan tahun berlalu, beliau dikatakan masih mengingati kanak-kanak tersebut dan sering menyuarakan hasrat untuk bertemu dengannya sekiranya masih hidup.
Usaha pencarian akhirnya membuahkan hasil apabila ‘Mangosteen Boy’ berjaya dikesan dan pertemuan mereka diatur di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Siti Hasmah di Seri Kembangan.

Pertemuan cukup bermakna
Pertemuan selepas hampir enam dekad itu menjadi detik cukup bermakna buat Tun Siti Hasmah, lebih-lebih lagi ia berlaku sekitar sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-100.
“Inilah hadiah terbaik buat saya sempena hari jadi yang ke-100 setelah dapat bertemu dengan ‘Mangosteen Boy’ yang dah lama saya cari,” katanya seperti dikongsikan dalam hantaran berkenaan.
Kisah itu bukan sahaja memperlihatkan kuatnya ingatan Tun Siti Hasmah terhadap seorang pesakit yang pernah ditemuinya puluhan tahun dahulu, malah menjadi satu lagi kenangan mengenai sisi kemanusiaan Allahyarhamah yang kini kembali dikenang selepas pemergiannya.
Allahyarhamah Tun Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), pada 28 September lalu.
The post Hasrat Tun Hasmah bertemu ‘Mangosteen Boy’ tertunai sebelum pemergian appeared first on The Reporter.






