hamden06/05/2026 - 15:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Mei - EcoFirst Consolidated Bhd berdepan tindakan undang-undang apabila syarikat itu bersama anak syarikat milik penuhnya, EcoFirst Worldwide Sdn Bhd (EWSB) menerima Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan daripada Modern Peak Sdn Bhd membabitkan tuntutan berjumlah RM7.6 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, writ berkenaan telah diserahkan pada lewat petang 5 Mei 2026, susulan dakwaan pelanggaran perjanjian jual beli serta jaminan korporat.
Menurut butiran tuntutan, plaintif menuntut bayaran RM7.6 juta berserta faedah 8% setahun bermula 1 April 2026 sehingga penyelesaian penuh, selain kos guaman dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pertikaian itu berpunca daripada dakwaan kegagalan EWSB menyerahkan unit hartanah kepada plaintif seperti ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli bertarikh 15 Oktober 2020, dengan tarikh siap projek yang dipersetujui pada 1 April 2026.
Selain itu, EcoFirst turut didakwa melanggar obligasi di bawah jaminan korporat yang dikeluarkan pada 2020 serta jaminan tambahan pada 2024, apabila gagal membuat bayaran yang dituntut oleh plaintif pada 2 April 2026.
Syarikat itu menjelaskan bahawa EWSB bukan merupakan anak syarikat utama setakat tarikh pengumuman tersebut.
Dari sudut kewangan, EcoFirst berkata, liabiliti berpotensi daripada kes berkenaan dianggarkan pada RM7.6 juta, namun pada masa ini tidak dijangka memberi impak material terhadap kedudukan kewangan dan operasi kumpulan.
“Pihak syarikat dan EWSB telah melantik peguam untuk mempertahankan kes ini dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kepentingan masing-masing,” menurut kenyataan itu.
EcoFirst menambah, sebarang perkembangan material berkaitan kes tersebut akan diumumkan kepada Bursa Malaysia dari semasa ke semasa. - DagangNews.com






