Econpile dapat kontrak kerja substruktur RM71.2 juta di Kuala Lumpur
herman
02/09/2024 - 18:09
KUALA LUMPUR 2 Sept - Anak syarikat milik penuh Econpile Holdings Berhad, Econpile (M) Sdn. Bhd. memperoleh kontrak kerja-kerja substruktur sebuah bangunan di pusat bandar raya Kuala Lumpur bernilai RM71.2 juta.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Econpile berkata, projek ini dijangka diselesaikan dalam tempoh 28 bulan bermula dari 2 September 2024.
"Econpile Sdn Bhd telah menerima Surat Anugerah bertarikh 30 Ogos 2024 daripada Thens Architect bagi pihak Platinum Victory Property Sdn. Bhd. untuk melaksanakan Pakej 1 iaitu kerja-kerja meroboh, substruktur dan bawah tanah bagi pembangunan blok bangunan setinggi 55 tingkat.
"Ia terdiri daripada pejabat (223 unit), hotel (329 unit) dan pejabat berkonsepkan SOHO (245 unit) dengan lima (5) tingkat parkir bawah tanah di Lot 20003, Seksyen 44, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur," katanya hari ini.
Menurut Econpile, projek ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan keuntungan syarikat mulai tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya.
"Tiada risiko ketara yang dijangka selain daripada risiko operasi yang berkaitan dengan projek semasa tempoh kontrak. Pihak pengurusan akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi untuk mengurangkan impak atau kemungkinan kejadian tersebut.
"Tiada pengarah atau pemegang saham utama Syarikat atau individu yang berkaitan mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam Projek tersebut," ujarnya. - DagangNews.com



