
Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pada Khamis melancarkan skim rebat Solar Rakyat Sabah bernilai RM4 juta serta pelan hala tuju kecekapan tenaga selama 10 tahun bagi mempercepatkan peralihan negeri ke arah sistem tenaga yang lebih mampan, berdaya tahan dan rendah karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen suruhanjaya berkenaan untuk memperkukuh ekosistem tenaga Sabah menerusi pendekatan bersepadu yang merangkumi dasar, teknologi, pembangunan modal insan, kesejahteraan masyarakat dan kerjasama strategik.
“Membangunkan sistem tenaga yang lebih mampan memerlukan penyertaan semua pihak berkepentingan,” katanya pada majlis pelancaran program Sabah Sustainable Energy for the People, di sini.
Program itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Abdul Nasser berkata, inisiatif yang diperkenalkan membuktikan komitmen bersama dalam memacu agenda peralihan tenaga Sabah demi manfaat rakyat dan pembangunan ekonomi negeri.
Antara tumpuan utama ialah pelancaran Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (SEEAP), iaitu satu daripada 16 inisiatif strategik di bawah Pelan Hala Tuju dan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-Ramp 2040), yang menjadi kerangka bagi meningkatkan kecekapan tenaga dalam tempoh sedekad akan datang.
Beliau berkata, pelan itu menyasarkan pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 8.5 peratus menjelang 2036 berbanding senario kebiasaan menerusi langkah berfasa, praktikal dan berpandukan data merentas sektor kediaman, komersial dan perindustrian.
Menurut beliau, kajian menunjukkan SEEAP berpotensi menjimatkan 4.3 bilion kilowatt-jam tenaga elektrik dalam tempoh 10 tahun, mengurangkan kos pembekalan elektrik sebanyak RM2 bilion serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 1.9 juta tan, bersamaan pelepasan tahunan kira-kira 41,000 kenderaan.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Program Solar Rakyat Sabah yang disokong peruntukan RM4 juta daripada Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik Sabah (AAIBES) bagi menggalakkan penggunaan lebih meluas sistem fotovolta solar (PV) bumbung dalam kalangan pengguna domestik.
Isi rumah satu-fasa yang layak akan menerima rebat RM1,000 bagi setiap satu kilowatt pemasangan, sehingga maksimum empat kilowatt, sekali gus mengurangkan kos pemasangan dianggarkan antara 25 hingga 30 peratus.
Pemilik rumah juga boleh memasang sistem fotovolta solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri tanpa modal permulaan menerusi pembiayaan yang disediakan oleh Pelabur PV Berdaftar Sabah, dengan bayaran balik dibuat menggunakan penjimatan bil elektrik.
“Peralihan tenaga bukan sekadar membina infrastruktur baharu atau meningkatkan kapasiti penjanaan, tetapi juga mengubah cara kita menggunakan tenaga secara lebih cekap dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan agenda tenaga mampan Sabah bergantung kepada komitmen kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat.
“Semua inisiatif ini membuktikan bahawa pembangunan tenaga mampan memerlukan penyertaan seluruh ekosistem, daripada penggubal dasar dan badan kawal selia kepada sektor swasta, institusi latihan serta masyarakat,” katanya.
Majlis itu turut mengiktiraf pencapaian di bawah kempen Selco PV Sabah 2.0, termasuk inisiatif Government Lead by Example oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) serta pemasangan sistem solar komersial Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang merupakan projek Selco PV terbesar di Sabah.
Turut diraikan ialah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Khidmat Budi Tenaga Mampan ECoS yang memberi manfaat kepada pertubuhan kebajikan, rumah ibadat, institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Memorandum persefahaman turut dimeterai antara ECoS dan Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) bagi membangunkan usahawan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Tvet) serta memperkukuh pembangunan modal insan untuk sektor tenaga Sabah.
Kerjasama itu merupakan kolaborasi pertama Insken dengan industri tenaga di Malaysia.
“Semoga segala usaha yang kita laksanakan hari ini menjadi pemangkin kepada sistem tenaga yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri, selain menteri-menteri, pegawai kerajaan, wakil industri dan rakan strategik ECoS.






