Lebih RM100 juta untuk biasiswa: Hajiji

31 Jul 2026 • 12:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lebih RM100 juta untuk biasiswa: Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Skim Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan.

Peruntukan itu akan memanfaatkan ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan berkenaan meliputi penerima biasiswa sedia ada serta penajaan baharu bagi 2026, membabitkan seramai 2,182 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.

Beliau berkata jumlah keseluruhan penerima BKNS kini mencecah 13,389 orang, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia menjadi asas dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Khamis.

Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata BKNS menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 60 orang.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menawarkan beberapa skim biasiswa utama, termasuk Biasiswa Kecemerlangan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Premier, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar.

Beliau berkata Kumpulan Yayasan Sabah turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Sabah kepada 50 orang tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar Sabah.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga memperluas peluang pendidikan dalam sektor penjagaan kesihatan dengan memilih 30 anak Sabah menyertai program pembangunan bakat yang meliputi Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.

Katanya, program itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan Kolej Universiti IJN berdasarkan memorandum persefahaman yang dimeterai pada April lalu bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja kesihatan masa depan negeri.

“Inisiatif ini selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga profesional kesihatan berkemahiran, di samping memberi lebih banyak peluang kepada anak Sabah mengikuti latihan profesional dalam bidang kritikal yang dijangka mendapat permintaan tinggi pada masa depan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata 15 anak Sabah kini mengikuti Program Pembantu Penjagaan Pesakit di Kolej Universiti IJN menerusi inisiatif yang diselaraskan Yayasan Sabah melalui Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), sekali gus memperluas akses kepada latihan kemahiran berkualiti dalam sektor kesihatan.

Hajiji berkata kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga yang berdepan peningkatan kos pendidikan.

Beliau berkata sejak diperkenalkan, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) telah memanfaatkan 835 penerima dengan jumlah perbelanjaan RM141.29 juta, manakala Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2022 telah membantu 15,629 penerima membabitkan peruntukan melebihi RM25 juta.

“Selain itu, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah terus menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, termasuk bantuan yuran pendaftaran awal dan tambang penerbangan, dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM12.7 juta dari Januari hingga Jun tahun ini,” katanya.

Beliau berkata Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) turut meneruskan pelaksanaan 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi Secara Sekali Bayar (Budi), Bantuan Khas Peperiksaan (Bakti), Program Bantuan Komputer (Baik), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (Subfly) dan Bantuan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri Sabah (Sentosa).

Hajiji menyifatkan peningkatan prestasi pendidikan negeri sebagai petanda positif apabila Sabah mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, menandakan kali pertama negeri itu merekodkan GPN di bawah paras 5.00.

Beliau menggesa pelajar terus berusaha mencapai kecemerlangan serta meneroka bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Tvet) serta kecerdasan buatan (AI), yang dijangka menjadi pemacu pembangunan ekonomi Sabah pada masa hadapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved