

Percaya atau tidak, dengan menaiki tren ECRL, perjalanan dari Gombak ke Kuantan Port City kini hanya mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit.
Tempoh perjalanan itu direkodkan menerusi Comprehensive Inspection Train yang membawa sekumpulan pengamal media tempatan dan antarabangsa dari Stesen Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen Kuantan Port City .
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, perjalanan pulang dari Kuantan Port City ke Gombak turut mengambil tempoh sama iaitu satu jam 30 minit.
Perjalanan berkenaan turut melalui Terowong Genting ECRL sepanjang 16.39 kilometer (km), yang merupakan terowong rel terpanjang di Asia Tenggara.
Tambahnya, kemajuan fasa ujian dan pentauliahan ketika ini merupakan perkembangan penting dalam memastikan ECRL mencapai tahap kesiapsiagaan operasi ditetapkan.
“Kami berpuas hati dengan kemajuan fasa pengujian dan pentauliahan ECRL setakat ini.
“Setiap ujian dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh bagi memastikan semua sistem, komponen serta infrastruktur ECRL memenuhi keperluan keselamatan dan teknikal sebelum perkhidmatan kepada orang awam dimulakan,” katanya.
SUMBER KOSMO




