hamden16/11/2026 - 07:30 Tiga stesen utama tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di KotaSAS, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu dan Kota Bharu, Kelantan. Secara keseluruhan ECRL memiliki 20 stesen termasuk stesen gabungan penumpang dan kargo. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - Apabila pemandu e-hailing, Mohd Zorkanine Mohamed menerima tempahan menghantar penumpang ke Stesen ECRL Kota Bharu dari pusat bandar Kelantan pada 12 November 2026 baru-baru ini, dia terus diserang keraguan.
Sepanjang pengetahuannya, stesen di Tunjong kira-kira 20 minit perjalanan menaiki kereta dari pusat bandar itu belum dibuka, malah tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah dinantikan sekian lama itu juga belum beroperasi.
"Dalam hati saya betulkah ini atau ini scam," katanya kepada penulis sebaik kami mengesahkan lokasi dituju memang betul. Keraguan Zolkarnine berasas kerana ECRL sememangnya belum beroperasi.
Hanya sejak 7 November 2026 lalu, pihak ECRL Operation Sdn. Bhd. (EOSB), syarikat yang mengendalikan dan menyelenggara perkhidmatan ECRL sedang melakukan ujian penuh peringkat akhir sebelum dibuka kepada orang ramai.
Semua aspek diteliti, daripada kelancaran operasi tren sehingga kepada pengurusan penumpang, pengendalian terminal, dan paling penting aspek keselamatan
Namun dari riak wajah pemandu berusia 62 tahun itu jelas teruja dan gembira kerana penantian sejak sekian lama penduduk Pantai Timur memiliki sistem pengangkutan rel yang cepat dan boleh memendekkan masa perjalanan, selamat dan selesa tidak lama lagi akan berakhir.

Episod perancangan, pembinaan yang panjang
Kelahiran ECRL berlaku membabitkan episod yang panjang. Bermula daripada keraguan akan keupayaan untuk memendekkan perjalanan dari ibu negara ke Pantai Timur khususnya destinasi akhir Kota Baharu Kelantan yang memakan masa purata 8 hingga 9 jam menaiki kereta pada ketika ini.
Dengan kereta api sedia ada pula purata masa diambil 10 hingga 14 jam, manakala menaiki kapal terbang juga boleh mencecah lebih 4 jam secara keseluruhannya.
Lebih parah bila musim cuti umum, apa lagi cuti perayaan utama khususnya Hari Raya. Tempoh masa perjalanan bertambah berlipat kali ganda. Halangan utama sudah pasti keadaan bentuk muka bumi yang menjadikan usaha menyediakan perkhidmatan rel laju mustahil.
Faktor itu juga menjadi soal ketidakseimbangan pembangunan ekonomi antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang boleh dipertingkatkan menerusi kecekapan pengangkutan terus diperdebatkan tanpa penyelesaian tuntas.
Hanya dengan keazaman politik yang kukuh, akhirnya projek ECRL bermula pada tahun 2017. Bermakna untuk sampai ke tahap yang boleh disaksikan hari ini mengambil masa sembilan tahun.

Perubahan kepimpinan negara pada 2018 menyebabkan kerja pembinaan dihentikan dengan alasan utamanya ialah kos. Projek mega ini disambung semula pada 2019, namun jajaran bahagian selatannya diubah melalui Negeri Sembilan untuk menjimatkan kos.
Namun pada 2021 jajaran tersebut dikembalikan kepada asal iaitu melalui Gombak dan Bentong. ECRL bukan sekadar untuk mengangkut penumpang tetapi juga direka untuk mengangkut kargo sekaligus mewujudkan 'jambatan darat' menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dan Pelabuhan Kuantan di Pahang.
Cabaran besar bagi memendekkan masa perjalanan diselesaikan dengan membina terowong sejauh 16.39 kilometer membelah batuan Banjaran Titiwangsa pada kedalaman 750 meter. Pembinaan terowong dan jejambat menjadikan laluan ECRL lurus bagi membolehkan kelajuan tren dikekalkan, jarak dipendekkan sekali gus menjimatkan masa.

Balik kampung jadi mudah, ekonomi dijangka berkembang
ECRL yang menjanjikan perjalanan cepat, selamat dan selesa pasti menjadikan urusan balik kampung bagi penduduk Pantai Timur lebih mudah. Pelancong juga mudah merancang perjalanan, sekali gus meningkatkan kehadiran mereka ke negeri pantai timur.
"Dengan ada perkhimatan kargo, sudah pasti mengubah perkembangan ekonomi negeri. Industi hiliran juga boleh meningkat jika bijak mengambil peluang," kata pesara, Wan Mohd Zaidi Wan Yusuf, 60.
Beliau memberi contoh, dalam keterbatasan masa pergerakan, usahawan tempatan di Kelantan boleh menjalankan perniagaan melibatkan lintasan sempadan negeri seperti makanan tradisi Kelantan yang setiap hari dihantar ke Kuala Lumpur.
"Lagi cekap pengangkutan, lagi mudah mereka buat kerja," katanya sambil menambah harga tiket yang berpatutan memberikan kelebihan untuk ECRL diterima rakyat.
"Kalau dibanding dengan harga tiket bas tidak jauh beza, jika diambil kira cepat dan selesa memang berbaloi," ujarnya lagi.
Harga tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan ECRL dari Gombak ke Kota Bharu bermula dari RM125 sehala bagi perkhidmatan Transit, RM147 sehala bagi perkhidmatan ekspres.

Bagi Aiman Azmi, 25, kedatangan pelancong pasti melonjak dengan adanya ECRL, selain memudahkan warga tempatan balikkampung.
"Macam di Jepun, mereka menjadikan pengangkutan rel sebagai bahan pelancongan. Sudah pasti dengan mengambil kira keunikan kebudayaan dan alam semula jadi di Pantai Timur, ECRL boleh memainkan peranan sama," ujarnya.
Bercakap mengenai ekonomi, pekerja swasta itu tidak mahu membawa jauh untuk melihat kesan yang bakal dibawa ECRL.
"Tunjong yang menempatkan Stesen ECRL Kota Bharu itu adalah kawasan sawah. Memang sudah ada kedai-kedai (pembangunan), namun dengan adanya Stesen ECRL lagi cepat berkembang," katanya sambil menambah harga tanah sawah itu sudah meningkat berlipat kali ganda.


Hujah yang sama turut dikongsi Zorkanine dengan menyatakan Tunjong bukan kawasan kegemaran pemandu Grab kerana kadar tempahan penumpang rendah.
"Selepas ini dah boleh 'main' kawasan sana," katanya gembira namun sempat menitipkan nasihat kepada pihak berkuasa negeri supaya segera bersedia bagi menerima kehadiran pelancongan yang dijangka bertambah.
"Sekarang pelancong yang menginap di pusat bandar mengadu pusat bandar mati selepas pukul 5 petang. Sebab itu bagi saya kalau kita hendak bina bandar baharu sekali pun, pusat bandar jangan dilupakan. Fikirkanlah aktiviti sesuai untuk menghidupkan pusat bandar sekali gus mengisi masa pelancong," ujarnya.

Tunggu 12 Disember 2026
Tarikh 12 Disember 2026 telah disebut-sebut bakal menjadi hari pertama ECRL beroperasi dan dibuka kepada orang ramai. Tidak sampai sebulan lagi, penantian rakyat di seluruh negara khususnya penduduk di Pantai Timur akan berakhir.
Mencongak sambutan yang bakal diterima ECRL, seorang anak jati Kelantan, Illah Hafiz Aziz memberi perbandingan mudah untuk difikirkan dalam membicarakan tentang sambutan.
"Kalau tiket kapal terbang berharga sehingga RM500 sehala pun boleh habis, bayangkan harga tiket RM100 lebih. Pasti beratur panjang," katanya penuh yakin. - DagangNews.com






