Stesen ECRL Jerteh bakal dilengkapi terminal transit, kedai dan kiosk menerusi projek RM16 juta

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 2:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Stesen ECRL Jerteh bakal dilengkapi terminal transit, kedai dan kiosk menerusi projek RM16 juta Image from: Stesen ECRL Jerteh bakal dilengkapi terminal transit, kedai dan kiosk menerusi projek RM16 juta liza16/11/2026 - 14:42 Stesen ECRL Jerteh Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 16 Nov – Pembangunan hab pengangkutan bersepadu menerusi projek berorientasikan transit (TOD) Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jerteh di Besut akan melibatkan anggaran kos RM16 juta dengan pembinaan dijadualkan mengambil masa selama 24 bulan.

 

Projek itu merangkumi pembinaan sebuah terminal transit, laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan stesen ECRL dengan kawasan pusat pengangkutan serta kemudahan sokongan termasuk surau, tandas, kedai dan kiosk untuk disewakan.

 

Pembangunan berkenaan bertujuan menyediakan kemudahan yang menghubungkan perkhidmatan ECRL dengan pengangkutan darat lain, sekali gus memudahkan pergerakan penumpang apabila stesen berkenaan beroperasi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata projek itu kini berada pada peringkat penyelarasan keperluan dan persediaan perolehan.

 

Perolehan projek dijadualkan 26 November ini

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu telah menerima cadangan skop pembangunan TOD Stesen ECRL Jerteh daripada Majlis Daerah Besut sebelum beberapa mesyuarat penyelarasan diadakan di peringkat daerah dan negeri.

 

“Mesyuarat berkenaan turut melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu serta jabatan dan agensi berkaitan bagi menyelaras skop pembangunan.

 

“Ketika ini, JKR Terengganu sedang menyediakan dokumen Kehendak Kerajaan bagi mengenal pasti dan mendokumentasikan keperluan projek dengan jelas sebelum reka bentuk dimuktamadkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Riduan Mohamad Nor (PAS-Jerteh) yang ingin mengetahui perkembangan terbaharu projek tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

 

Proses perolehan projek dijadualkan pada 26 November 2026, manakala Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada 1 Mac 2027.

 

Laluan keluar masuk ke terminal transit juga akan dibangunkan bagi menyokong pergerakan kenderaan dan penumpang di kawasan berkenaan.

 

Kemudahan sokongan turut diberi perhatian

Selain pembinaan bangunan dan laluan pengangkutan, skop kerja turut merangkumi pengukuran serta pembersihan tapak, pemasangan lampu jalan solar dan lampu limpah. 

 

Projek itu juga melibatkan pembinaan sistem saliran dan perparitan, pemuliharaan cerun, kerja landskap serta pemasangan perabot jalan dan lain-lain kerja berkaitan.

 

Secara keseluruhan, pembangunan TOD itu dirancang untuk melengkapkan kemudahan sekitar Stesen ECRL Jerteh menerusi penyediaan terminal transit dan infrastruktur sokongan yang menghubungkan perkhidmatan kereta api dengan kawasan pusat pengangkutan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved