ECRL: Peluang emas pacu pelancongan serambi Mekah

24 Oct 2026 • 6:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ECRL: Peluang emas pacu pelancongan serambi Mekah

KOTA BHARU: Pemain industri pelancongan Kelantan digesa merebut peluang daripada pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hujung tahun ini yang dijangka membawa lebih ramai pengunjung ke negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, persediaan rapi termasuk mempergiat promosi perlu dilakukan bagi memanfaatkan potensi peningkatan kedatangan pelancong.

Katanya, Kelantan mempunyai pelbagai produk pelancongan menarik yang boleh dikunjungi sepanjang tahun, khususnya ketika cuti panjang.

“Untuk peringkat pertama, kita akan menyambut kedatangan pelancong yang menggunakan kereta api laju di Stesen ECRL Tunjong di sini dengan persembahan kebudayaan.

“Kita juga menjangkakan ramai pelancong akan berkunjung ke Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Antarabangsa Penggunaan dan Kelangsungan Bahasa Melalui Nusantara 2026 di sini, hari ini.

Kamaruddin memberitahu, pengoperasian ECRL turut membuka ruang kepada pengusaha hotel, premis perniagaan dan pemain industri lain untuk merancakkan sektor pelancongan negeri.

Katanya, semua pihak perlu membuat persediaan sewajarnya supaya peluang yang hadir seiring pengoperasian laluan itu dapat dimanfaatkan.

“Kerajaan negeri masih menunggu perkembangan lanjut berhubung cadangan sambungan ECRL ke Rantau Panjang,” ujarnya.

Kamaruddin berkata, cadangan itu masih di peringkat dasar dan memerlukan penelitian lanjut, termasuk perbincangan dengan kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaannya.

“Kerajaan negeri ketika ini masih menunggu perkembangan daripada kerajaan pusat sebelum sebarang perbincangan lanjut diadakan,” katanya. – UTUSAN

The post ECRL: Peluang emas pacu pelancongan serambi Mekah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved