johardy14/08/2026 - 15:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai kemajuan keseluruhan 95.08% dan memasuki fasa pengujian serta pentauliahan menjelang permulaan operasi komersial pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek itu kekal mengikut jadual dengan Fasa 1 melibatkan jajaran Kota Bharu-Gombak dijangka siap pada Disember ini sebelum memulakan operasi pada Januari 2027.
Fasa 2 yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027, dengan operasi dijadualkan bermula pada Januari 2028.
"Hari ini, projek ECRL mencapai satu lagi pencapaian penting menerusi pentauliahan Comprehensive Inspection Train (CIT), sebuah tren berteknologi tinggi dan canggih yang akan digunakan bagi tujuan pemeriksaan serta penyelenggaraan keseluruhan rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer," katanya dalam ucaptama hari ini.
Loke berkata, pengaktifan bekalan elektrik turut selesai dilaksanakan di kesemua 10 stesen pembekal kuasa di sepanjang jajaran Kota Bharu-Gombak sejak tiga hari lalu.

ECRL memasuki fasa pengujian sistem
Menurut beliau, tumpuan projek kini beralih kepada penyepaduan pelbagai sistem kereta api serta pelaksanaan pengujian dan pentauliahan bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai.
Ujian Integrasi Sistem (SIT) akan menilai penyepaduan sistem infrastruktur kereta api, diikuti ujian perjalanan tanpa kerosakan atau Fault-Free Run (FFR) pada September bagi menilai tren penumpang Electric Multiple Unit (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) untuk operasi kargo.
EMU enam gerabak pertama dan E-Loco masing-masing akan menjalani ujian FFR sejauh 8,000 kilometer di bawah penyeliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
CIT enam gerabak yang dihasilkan CRRC Dalian berupaya merekodkan parameter geometri landasan, memeriksa sistem isyarat kereta api serta menilai aliran elektrik Sistem Katenari Atas.
Tren itu mampu beroperasi pada kelajuan sehingga 160 kilometer sejam dan dilengkapi bilik kawalan, bilik persidangan, surau, ruang makan, kabin kelas perniagaan, bilik multimedia serta tandas.
Loke berkata, CIT telah selesai dipasang dan berjaya melepasi ujian penerimaan kilang mengikut jadual serta dijangka tiba di Malaysia pada 16 Ogos ini.
CIT kemudiannya akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sepanjang jajaran ECRL bagi menyokong fasa operasi dan penyelenggaraan projek tersebut.

Gombak-KotaSAS hanya 1 jam 35 minit
"Tren ECRL akan memendekkan masa perjalanan penumpang dan menghubungkan Stesen Terminal Bersepadu Gombak dengan Stesen KotaSAS dalam tempoh hanya satu jam 35 minit menerusi laluan ekspres, berbanding kira-kira tiga jam melalui jalan raya.
"Sementara itu, perjalanan ECRL dari Gombak ke Kuala Terengganu akan mengambil masa kira-kira tiga jam, manakala perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu dianggarkan hanya empat jam," katanya.
Walaupun Fasa 1 ECRL antara Kota Bharu dan Gombak dijadualkan memulakan operasi pada Januari 2027, Loke mencabar Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) supaya projek itu dapat dibuka lebih awal daripada jadual.
ECRL dijangka mempunyai kapasiti membawa sehingga kira-kira 10,000 penumpang sehari pada peringkat awal operasinya.
Menurut Loke, projek itu akan mempunyai 10 set tren dengan setiap set mampu membawa antara 300 hingga 425 penumpang bergantung kepada konfigurasi.
"Jika satu set tren membuat dua hingga tiga perjalanan sehari, kita menganggarkan kapasiti boleh mencecah kira-kira 10,000 penumpang sehari," katanya.
Setakat ini, lima set tren ECRL telah tiba di Malaysia, manakala baki set dijangka tiba secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang.
Stesen utama tampil identiti empat negeri
Sempena pelancaran CIT pada Jumaat, MRL turut memperkenalkan reka bentuk stesen-stesen utama ECRL yang menerapkan elemen warisan, seni bina dan kebudayaan tempatan dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Loke berkata, pembinaan Stesen Gombak telah mencapai kemajuan 98.96% dan dijangka siap pada September 2026.
Dibina di kawasan seluas 9.96 hektar, stesen itu akan mempunyai platform bertingkat, ruang menunggu penumpang, Lounge Kelas Perniagaan, kedai serbaneka, kemudahan parkir serta laluan pejalan kaki berbumbung.
Stesen berkenaan turut akan dihubungkan dengan Laluan LRT Kelana Jaya dan Terminal Bersepadu Gombak yang beroperasi 24 jam, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan ECRL dengan rangkaian pengangkutan awam sedia ada.
"Dengan perkembangan projek ECRL yang begitu memberangsangkan, saya yakin penantian rakyat untuk menikmati perkhidmatan ECRL akan menjadi kenyataan mengikut jadual dan penduduk Pantai Timur akan dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri dengan menaiki ECRL pada 2027," katanya. - DagangNews.com




