ECRL mampu tampung 10,000 penumpang sehari

LocalTravel
14 Aug 2026 • 1:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ECRL mampu tampung 10,000 penumpang sehari

GOMBAK: Perkhidmatan Rel Pantai Timur (ECRL) mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang sehari berdasarkan jumlah set tren tersedia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kapasiti itu bergantung kepada 10 set tren dengan setiap set mampu membawa sehingga 425 penumpang.

Menurutnya, jumlah itu dijangka dapat memenuhi permintaan penumpang terutama pada peringkat awal operasi iaitu apabila masyarakat mencuba perkhidmatan itu.

“Pihak kementerian yakin perkhidmatan berkenaan akan mendapat sambutan menggalakkan berdasarkan kelebihan ECRL yang menawarkan perjalanan lebih pantas antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Perjalanan dari Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS) dijangka mengambil masa hanya satu jam 35 minit, berbanding kira-kira tiga jam melalui jalan raya.

“Perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu pula sekitar tiga jam manakala perjalanan Gombak ke Kota Bharu dianggarkan mengambil masa kira-kira empat jam,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT) dan Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-stesen Utama ECRL di sini, hari ini.

Anthony berkata, kesemua 10 set tren perlu menjalani ujian Fault-Free Run (FFR) sejauh 8,000 kilometer (km) sebelum mendapat kelulusan operasi.

Katanya, FFR merupakan antara proses penting untuk memastikan prestasi dan kebolehpercayaan tren berada pada tahap ditetapkan sebelum perkhidmatan dibuka kepada penumpang.

“Proses berkenaan akan dilaksanakan selepas Pengujian Integrasi Sistem (SIT) yang menguji integrasi tren dengan sistem elektrik, pengisyaratan dan infrastruktur ECRL.

“Kita juga sedang meneliti kaedah memendekkan tempoh FFR kerana proses itu lazimnya mengambil masa dua hingga tiga bulan, tanpa menjejaskan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, lima set tren ECRL telah tiba di Malaysia manakala set lain akan dihantar secara berperingkat selepas menjalani pelbagai ujian di China.

“Setakat ini harga tiket ECRL masih belum diumumkan dan sebarang kadar atau julat tambang akan dimaklumkan sebelum perkhidmatan beroperasi,” katanya. – UTUSAN

The post ECRL mampu tampung 10,000 penumpang sehari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved