Eda Ezrin bakal tampil dengan lagu baharu 'Adik Saye Abe Sore'

EntertainmentMusic
14 Mar 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Eddie (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada penerbit dan pengarah filem, Datuk TS Jeffry (kiri).  - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Penyanyi dialek Kelantan, Eda Ezrin bakal tampil dengan lagu baharu berjudul 'Adik Saye Abe Sore' yang dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri ini.

Lagu yang mengetengahkan gabungan elemen dikir barat dengan susunan muzik lebih moden itu akan dipersembahkan secara duet bersama Den Manjo dan akan dilancarkan pada 26 Mac ini.

Komposernya, Eddie Hamid menyifatkan karya berkenaan sebagai usaha membawa muzik dialek Kelantan ke tahap lebih kontemporari serta berpotensi menembusi pasaran Asia Tenggara.

“Lagu ini kita buat dengan muzik yang lebih moden walaupun masih ada elemen dikir barat.

“Kita mahu orang dengar tanpa rasa hanya lagu dialek Kelantan, sebaliknya boleh diterima lebih meluas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Moreh dan Bicara Santai anjuran Pertubuhan Prihatin Suara Anak Kelantan bersama Anak Seni Kelantan di Chempaka, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, karya tersebut sebenarnya sudah disiapkan lebih awal dan dicipta khusus mengikut kesesuaian vokal Eda.

Bagaimanapun, Eddie berkata, pelancaran lagu itu tertangguh hampir setahun susulan beberapa perkara yang berlaku selepas ia siap dirakam.

Menurutnya, hanya tiga hari selepas beliau berbincang dengan Eda melalui telefon mengenai perancangan rakaman lagu tersebut, penyanyi berkenaan dilaporkan ditahan pihak berkuasa di Thailand berkaitan kes dadah sebelum ini.

“Sejak awal lagi lagu ini memang dibuat untuk dia kerana suara dan cara penyampaian dia sangat sesuai dengan konsep lagu tersebut.

“Tetapi terpaksa disimpan dahulu hampir setahun sebelum dapat dikeluarkan,” katanya.

Katanya, Adik Saye Abe Sore membawa kisah ringan berkisar hubungan remaja yang sering berdepan perasaan cemburu dan salah faham dalam percintaan, namun disampaikan dalam bentuk santai serta mudah diingati.

Beliau berharap karya tersebut mampu mendapat penerimaan baik daripada peminat serta menjadi antara lagu yang mampu mengangkat muzik dikir barat moden ke tahap lebih luas.