Edar ganja: Dua lelaki kembali ke penjara selepas Mahkamah Persekutuan kembalikan sabitan

LocalPolitics
28 Sep 2026 • 6:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Edar ganja: Dua lelaki kembali ke penjara selepas Mahkamah Persekutuan kembalikan sabitan
Mahkamah Persekutuan mengembalikan hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 20 Oktober 2023.

PUTRAJAYA - Dua lelaki yang dibebaskan dari penjara awal tahun ini perlu kembali menjalani baki hukuman penjara asal selama 30 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan terhadap mereka kerana mengedar 264.36 gram kanabis.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Rhodzariah Bujang memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan yang munasabah bahawa Azril Azhar Ahmad dan Zulfattar Md Ridzuan telah mengedar dadah berkenaan.

Turut bersidang Datuk Lee Swee Seng dan Datuk P Ravinthran.

Ketika menyampaikan penghakiman ringkas panel itu, Swee Seng berkata, Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila menggantikan sabitan kedua-dua tertuduh daripada kesalahan mengedar kepada memiliki dadah atas alasan jumlah ganja yang dirampas hanya sedikit melebihi prasyarat statutori bagi mewujudkan anggapan mengedar.

"Kami mendapati terdapat bukti yang amat kukuh mengenai aktiviti pengedaran seperti yang diputuskan oleh mahkamah yang mendengar perbicaraan kes ini,” katanya.

Beliau berkata, bukti menunjukkan bahawa peralatan berkaitan kegiatan pengedaran bahan terlarang itu termasuk penimbang digital, beg plastik dan pisau kecil telah ditemukan di dalam kereta tempat dadah tersebut dirampas.

Hakim itu berkata, pembelaan kedua-dua lelaki tidak pernah menghujahkan bahawa dadah tersebut adalah untuk kegunaan peribadi, dan Mahkamah Rayuan telah membuat andaian berdasarkan spekulasi.

Justeru itu, Mahkamah Persekutuan mengembalikan hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Zulfattar dan Azril pada 20 Oktober 2023.

Zulfattar turut diperintah menjalani hukuman sebatan sebanyak 12 kali manakala Azril dikecualikan kerana telah mencapai usia 50 tahun, dan tempoh pemenjaraan pula berkuat kuasa dari 26 September 2020, iaitu tarikh mereka ditangkap.

Pada 6 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan menggantikan sabitan mereka kepada kesalahan memiliki dadah serta menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun serta 10 sebatan rotan terhadap kedua-dua lelaki, dan keputusan itu mendorong pihak pendakwaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Azril, 50, dan Zulfattar, 44, yang dibebaskan dari penjara pada 23 Februari lepas setelah selesai menjalani hukuman mereka, hadir di mahkamah hari ini.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di belakang sebuah stesen minyak di Persiaran Industri Galla, Taman Perindustrian Galla, Seremban, Negeri Sembilan pada 5.40 petang 26 September 2020.

Kedua-dua lelaki turut disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan memiliki 8.8 gram metamfetamina dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta lima sebatan rotan.

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara namun mengurangkan hukuman sebatan kepada tiga kali, dan kedua-dua tertuduh tidak membuat rayuan terhadap perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

Pada prosiding hari ini, Azril diwakili peguam Hasnan Hamzah dan Qushwa Hasnan manakala peguam Jaspal Singh Mann dan Pramjit Kaur mewakili Zulfattar.

Timbalan Pendakwa Raya, How Mei Ling hadir bagi pihak pendakwaan. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved