
TAMPIN – Sepasang suami isteri maut, manakala anak lelaki mereka berusia empat tahun cedera parah selepas dua kereta bertembung dalam kemalangan di Gemencheh, pagi tadi.
Kejadian pukul 10.55 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Proton Wira dinaiki tiga beranak berusia antara empat hingga 27 tahun dalam perjalanan dari Gemencheh menghala ke Bukit Rokan bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati, pemandu Proton Wira dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan.
“Anak pasangan itu yang berada di tempat duduk penumpang belakang Proton Wira kritikal dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Tampin di talian 06-4412502 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Imanul Hassan Mohamad Shah,” katanya kepada pemberita. – KOSMO! ONLINE
The post Suami isteri maut, anak parah appeared first on Kosmo Online.






