Edar syabu: Duda terlepas tali gantung

LocalPolitics
22 Aug 2025 • 3:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang duda berumur 30 tahun terlepas hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas Mahkamah Tinggi Tawau pada Khamis membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah membabitkan 2,051.2 gram syabu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Iwan Muin, 30, mempunyai pemilikan eksklusif terhadap dadah terbabit.

Mahkamah mendapati tiada barangan peribadi milik Iwan ditemui di rumah di mana dadah berkenaan dijumpai dan tiada bukti yang menunjukkan dia mempunyai akses tunggal ke premis itu.

Kehadirannya di beranda rumah pada masa serbuan dianggap tidak mencukupi untuk mengaitkannya secara langsung dengan dadah di dalam rumah berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan supaya Iwan dibebaskan tanpa perlu membela diri pada akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, memandangkan Iwan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Iwan pada asalnya didakwa mengedar 2,051.2 gram syabu di sebuah rumah di Kg Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, kira-kira jam 1 tengah hari pada 9 Oktober 2023.

Pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) itu membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, sekurang-kurangnya 12 sebatan rotan.

Perbicaraan bermula pada 16 Jun dengan tujuh saksi pendakwaan dipanggil.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif melakukan pendakwaan manakala Iwan diwakili oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki.