Edits menerima beberapa ciri baharu untuk penghasilan video yang lebih kemas. Antara penambahbaikan utama ialah antaramuka analitik yang dikemaskini bagi membolehkan pengguna menukar serta membandingkan setiap klip video dengan lebih lancar. Ini memudahkan pengguna mengenal pasti kandungan yang paling menarik untuk digunakan.

Meta menambah fungsi Safe Zone dalam ruangan suntingan video. Melaluinya, pengguna boleh melihat dengan jelas ruangan yang akan ditutupi oleh fungsi seperti kapsyen, butang suka atau sebagainya di media sosial. Ia turut membantu dalam memastikan kandungan video tidak terganggu semasa dimainkan. Ciri Snap to Edge juga diperkenalkan bagi memudahkan penyusunan semula kandungan secara tepat mengikut bingkai paparan.

Satu lagi penambahbaikan ialah sokongan untuk Keyframe Curves yang membolehkan kawalan lebih terperinci terhadap animasi dalam klip video. Pengguna turut boleh melaras gerakan animasi dengan lebih mudah menggunakan kawalan lengkungan disediakan, namun buat masa ini hanya tersedia untuk peranti iOS sahaja.

Meta turut memperkenalkan paparan status eksport secara masa nyata yang boleh memberi gambaran lebih terperinci terhadap proses eksport video. Pengguna akan diminta untuk tidak menutup skrin semasa proses rendering seumpama amaran yang digunakan dalam aplikasi CapCut.

