TikTok sedang menguji ciri baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pengguna menggabungkan avatar peribadi dengan emoji untuk menghasilkan pelekat unik. Melalui ciri ini, pengguna boleh mencipta avatar mereka sendiri dalam aplikasi, kemudian memilih emoji untuk digabungkan menjadi pelekat yang boleh digunakan dalam kandungan TikTok.

Contoh penggunaan ciri ini telah dikongsi oleh seorang pengguna memetik laporan daripada social media Today, yang menunjukkan bagaimana gabungan avatar dan emoji dapat menghasilkan ekspresi yang lebih menarik. Sebagai contoh, gabungan avatar dengan emoji marah akan menghasilkan pelekat yang menggambarkan seseorang sedang marah.

Semakan kami mendapati ciri ini masih belum tersedia dalam aplikasi setakat ini namun dijangka boleh diperkenalkan secara berperingkat dalam masa terdekat. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha TikTok untuk memperluaskan integrasi teknologi AI dalam aplikasinya.




