EGH International meterai perjanjian taja jamin dengan Berjaya Securities untuk IPO di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 4:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EGH International meterai perjanjian taja jamin dengan Berjaya Securities untuk IPO di Pasaran ACE Image from: EGH International meterai perjanjian taja jamin dengan Berjaya Securities untuk IPO di Pasaran ACE liza08/09/2026 - 16:14 Dari kiri: Ketua Penasihat Urus Niaga, Pua Kin Joh; Ketua Pasaran Modal/Kewangan Korporat, Anuar Omar; Pengarah Urusan Kumpulan EGHI, Datuk Weslie Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EGHI, Jessie Lim. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept – EGH International Berhad (EGHI), penyedia perkhidmatan kerja kemasan dalaman bangunan memeterai perjanjian taja jamin dengan Berjaya Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Perjanjian itu dimeterai bersempena tawaran awam permulaan (IPO) EGHI yang dijangka dilaksanakan pada September 2026.

 

IPO berkenaan melibatkan penerbitan sehingga 360 juta saham, bersamaan 36% daripada modal saham diperbesarkan kumpulan selepas penyenaraian.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 240 juta merupakan saham biasa baharu, manakala sehingga 120 juta lagi adalah saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan oleh pemegang saham sedia ada.

 

Struktur Tawaran Saham IPO

Bagi tawaran kepada pelabur runcit, sebanyak 50 juta saham baharu atau 5% daripada modal saham diperbesarkan akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia melalui proses undian.

 

Selain itu, sebanyak 30 juta saham baharu atau 3% daripada modal saham diperbesarkan akan diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta pihak lain yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Bagi tawaran institusi pula, sebanyak 160 juta saham baharu atau 16% daripada modal saham diperbesarkan akan ditawarkan melalui penempatan persendirian.

 

Sehingga 120 juta saham sedia ada atau 12% daripada modal saham diperbesarkan turut akan ditawarkan kepada pelabur institusi melalui penempatan persendirian.

 

Berjaya Securities Jadi Penjamin Tunggal

Di bawah perjanjian itu, Berjaya Securities akan menjamin pengambilan sebanyak 80 juta saham baharu di bawah tawaran runcit, tertakluk kepada peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula seperti yang dinyatakan dalam prospectus.

 

Berjaya Securities turut bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi pelaksanaan IPO EGHI.

 

Selepas penyenaraian, modal saham diperbesarkan kumpulan akan berjumlah satu bilion saham.

 

Menurut EGHI, pemeteraian perjanjian itu menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan IPO kumpulan dan membawa syarikat selangkah lebih dekat untuk membolehkan orang awam mengambil bahagian dalam pertumbuhan perniagaannya.

 

Hasil IPO Untuk Kurangkan Hutang Dan Kembangkan Perniagaan

EGHI berkata hasil IPO akan digunakan terutamanya bagi membayar balik pinjaman bagi membolehkan kumpulan menjimatkan kos faedah serta mengurangkan tahap keberhutangannya.

 

Sebahagian hasil itu juga akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong pelaksanaan projek, operasi perniagaan dan pengembangan kumpulan.

 

Selain itu, EGHI bercadang membina ibu pejabat, gudang dan bilik pameran Interior Premium Outlet baharu di Puchong, Selangor.

 

Baki hasil IPO pula akan digunakan bagi menampung kos berkaitan proses penyenaraian dan IPO.

 

Ditubuhkan lebih 15 tahun lalu, EGHI telah membina reputasi sebagai penyedia perkhidmatan kerja kemasan dalaman bangunan secara menyeluruh dan melalui anak syarikatnya, kumpulan itu telah menyiapkan lebih 200 projek merangkumi lebih 57 hotel dan resort, 19 kemudahan penjagaan kesihatan, tiga institusi pendidikan serta lima ruang menunggu lapangan terbang di Malaysia, Kemboja, India dan Hong Kong. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved