Evocom lancar prospektus, sasar hasil IPO RM20.50 juta

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Evocom lancar prospektus, sasar hasil IPO RM20.50 juta

PETALING JAYA: Evocom Berhad (Evocom) melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) dengan sasaran hasil kasar kira-kira RM20.50 juta sempena cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Pemudah cara e-dagang yang menyediakan penyelesaian tenaga kerja fleksibel dan sokongan rangkaian itu berkata, dana itu akan diperoleh menerusi penerbitan 113.907 juta saham biasa baharu pada harga IPO 18 sen sesaham.

Berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 455.628 juta saham selepas penyenaraian, Evocom dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM82.01 juta.

Saham syarikat turut diklasifikasikan sebagai patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Evocom Berhad, Ian Tan berkata, pelancaran prospektus itu merupakan pencapaian penting ketika syarikat membuat persiapan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Katanya, ia mencerminkan aspirasi Evocom untuk membina platform yang lebih pintar, responsif dan berskala bagi ekosistem logistik e-dagang yang terus berkembang.

“IPO ini akan memberikan kami kapasiti lebih besar untuk memajukan inisiatif berkenaan, selain memperkukuh platform operasi yang menyokong perniagaan kami.

“Ini termasuk kemudahan bersepadu yang dirancang di Nilai, yang bertujuan menyokong aktiviti kami yang semakin berkembang serta menyediakan asas lebih kukuh untuk operasi transhipment kargo udara dan e-dagang rentas sempadan.

“Akhirnya, visi kami adalah untuk membentuk ekosistem logistik e-dagang yang lebih berhubung dan dipacu teknologi,” katanya dalam kenyataan.

Kira-kira RM3 juta atau 14.63 peratus daripada hasil IPO tersebut akan digunakan untuk membangunkan aplikasi teknologi proprietari, manakala RM7.20 juta atau 35.12 peratus diperuntukkan sebagai modal kerja bagi perniagaan tenaga kerja fleksibel.

Sebanyak RM3 juta lagi atau 14.63 peratus akan digunakan sebagai modal kerja untuk mengembangkan perniagaan transhipment kargo udara.

Syarikat turut memperuntukkan RM1.5 juta untuk penubuhan ibu pejabat bersepadu di Nilai, Negeri Sembilan, yang akan menghimpunkan fungsi gudang, pejabat dan operasi di satu lokasi.

Kemudahan itu dijangka mengukuhkan operasi syarikat susulan kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan rangkaian logistik utama.

Baki dana masing-masing sebanyak RM1.34 juta dan RM4.46 juta akan digunakan untuk modal kerja am serta menampung perbelanjaan penyenaraian. – UTUSAN

 

The post Evocom lancar prospektus, sasar hasil IPO RM20.50 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved